Honda CBR150R 2021 dilancarkan di pasaran Indonesia, penampilan baharu dengan fork depan USD

PT Astra Honda Motor hari ini secara rasminya melancarkan model Honda CBR150R 2021 serba baharu, khusus untuk pasaran Indonesia. Model tersebut kini tampil dengan gaya rekaan baharu mirip model Honda CBR250RR, terutamanya rekaan lampu depan dan lampu DRL, serta lampu signal depan yang kini bersepadu dengan lampu DRL.

Selain itu, lampu belakang LED juga kini tampil dengan gaya rekaan baharu yang lebih sporty. Dan seperti mana yang digembar-gemburkan sebelum ini, sememangnya benar Honda CBR150R 2021 serba baharu kini dilengkapi fork depan jenis terbalik atau USD (upside-down) berwarna emas, juga mirip fork depan USD milik Honda CBR250RR.

Ciri baharu seterusnya yang melengkapi Honda CBR150R 2021 serba baharu ini ialah sistem transmisi enam kelajuan yang kini hadir dengan kelengkapan sistem Assist & Slipper Clutch. Tambah menarik lagi ialah rekaan kokpit baharu yang memberikan rasa tunggangan yang lebih sporty dan sensasi berbanding model generasi sebelumnya.

Spesifikasi enjin bagaimanapun masih kekal sama iaitu 149.16cc satu silinder DOHC dengan empat injap, dilengkapi sistem PGM-FI dan penyejukan cecair dengan keluaran kuasa maksimum 17.1PS @ 9,000rpm dan tork puncak 14.4Nm @ 7,000rpm. Mungkin pihak Honda merasakan prestasi enjin sedia ada sudah memadai buat ketika ini.

Melengkapkan spesifikasi Honda CBR150R 2021 ialah panel meter digital sepenuhnya, sistem brek ABS dengan ciri Emergency Stop Signal (varian ABS sahaja), tangki bahan api 12 liter, tayar depan 100/80-17M/C 52P, tayar belakang 130/70-17M/C 62P, tinggi tempat duduk 782 mm, serta berat kosong 137 kg (Non ABS) dan 139 kg (ABS).

Pilihan warna yang ditawarkan pula ialah Matte Black yang hanya tersedia dalam varian Non-ABS, manakala tiga pilihan warna iaitu Victory Black Red, Dominator Matte Black dan Honda Racing Red, masing-masing tersedia dalam varian Non-ABS dan ABS. Bagi pilihan warna MotoGP Edition, ianya hanya tersedia dalam pilihan varian ABS sahaja.

Berkenaan harga, Honda CBR150R 2021 serba baharu bagi varian Non-ABS dalam pilihan warna Matte Black, Victory Black Red dan Dominator Matte Black boleh dimiliki pada harga sebanyak Rp. 35,900,000 (bersamaan RM 10,307.62). Bagi model dengan warna Honda Racing Red, harganya ialah Rp. 36,600,000 (bersamaan RM 10,508.61).

Sementara itu untuk varian ABS, pilihan warna Victory Black Red dan Dominator Matte Black telah ditetapkan harganya sebanyak Rp. 39,900,000 (bersamaan RM 11,456.10). Pilihan warna Honda Racing Red pula dijual sebanyak Rp. 40,600,000 (bersamaan RM 11,657.09), manakala MotoGP Edition sebanyak Rp. 40,800,000 (RM 11,714.51).

Secara keseluruhannya, Honda CBR150R 2021 serba baharu untuk pasaran Indonesia kini telah menerima rombakan yang boleh dikatakan menyeluruh, dengan inspirasinya adalah daripada model Honda CBR250RR. Adakah model ini akan turut dibawa masuk ke pasaran Malaysia oleh Boon Siew Honda? Menarik untuk kita tunggu jawapannya.


Artikel Popular Minggu Ini :

Katalog elektronik Yamaha Exciter 155 VVA 2021 (Vietnam), plus video model pertama masuk ke pasaran Malaysia

Honda RS160R 2021 untuk pasaran Malaysia, adakah ianya versi Honda Winner X 160 2021 di pasaran Vietnam?