Yamaha Exciter 155 2021 dilancarkan di pasaran Thailand, harga bersamaan RM 8,755.56

Yamaha hari ini secara rasminya melancarkan model moped terbaharu Yamaha Exciter 155 2021 untuk pasaran Thailand. Dengan pelancaran itu, Thailand kini menjadi negara ASEAN yang kelima menerima kehadiran model berkenaan, selepas pasaran Vietnam, Malaysia, Filipina dan Singapura. Mungkin selepas ini giliran pasaran Indonesia pula.

Untuk pasaran Thailand, Yamaha Exciter 155 yang dilancarkan itu merupakan versi standard, iaitu tanpa sistem kunci pintar dan brek cakera depan yang hanya dilengkapi angkup brek satu piston sahaja. Dua pilihan warna ditawarkan iaitu Biru dan Hitam, dan harganya pula lebih berpatutan iaitu hanya THB 68,000.00, bersamaan RM 8,755.56.

Sebagai ulangan, Yamaha Exciter 155 dikuasakan enjin 155cc dengan teknologi VVA, dan menjana kuasa maksimum 17.7hp @ 9,500rpm dengan tork maksimum 14.4Nm @ 8,000rpm. Sistem transmisinya ialah enam kelajuan, dan turut dilengkapi sistem Assist & Slipper Clutch. Untuk tunggangan lebih sporty, model itu dilengkapi tuas klac pendek.

Sebelum terlupa, Yamaha Exciter 155 di pasaran Thailand ini juga tidak dilengkapi port pengecas atau soket kuasa 12V DC untuk mengecas telefon bimbit. Bagaimanapun ciri-ciri lain tetap menarik, antaranya seperti lampu depan dan belakang LED, panel meter digital LCD sepenuhnya, dan tangki bahan api dengan kapasiti lebih besar 5.4 liter.