WMoto Malaysia akan melancarkan model terbaharu pada 11 Julai 2021, adakah ianya skuter WMoto Xtreme 150i 2021?

WMoto Malaysia bakal melancarkan sebuah model terbaharu pada tarikh 11 Julai 2021, berdasarkan pengumuman yang disiarkan di dalam laman Facebook mereka kelmarin. Setakat ini, model yang bakal dilancarkan itu berkemungkinan besar ialah model skuter WMoto Xtreme 150i 2021, yang muncul secara rasmi dalam bulan April yang lepas.

WMoto Xtreme 150i merupakan sebuah model skuter bergaya ADV, dengan ciri-cirinya yang tahan lasak dan mampu meredah laluan sukar. Seperti mana yang dapat dilihat di dalam video teaser yang telah disiarkan itu, model berkenaan sedang meredah jalan tidak berturap dan berbatu di sebuah ladang kelapa sawit tanpa sebarang masalah.

WMoto Xtreme 150i dikuasakan enjin dalam sesaran 149.3cc (silinder tunggal, empat lejang, dua injap, SOHC) dan dipadankan transmisi automatik C.V.T, dan menghasilkan kuasa maksimum 12.1hp @ 8,500rpm dengan tork puncak 11.8Nm @ 5,000rpm. Enjin tersebut dilengkapi sistem suntikan bahan api EFI dan patuh piawaian emisi Euro 4.

Selain daripada spesifikasinya yang menarik dan serba lengkap, harga jualannya yang bakal diumumkan nanti juga dikatakan berpatutan dan mampu memberikan saingan sengit kepada model Honda ADV150 2021. Untuk maklumat selanjutnya, sama-sama kita tunggu pelancaran rasminya pada 11 Julai 2021,  bermula pada jam 8.30 malam.