BMW Motorrad pada beberapa hari yang lepas secara rasminya telah memperkenalkan model skuter elektrik terbaharu keluarannya iaitu BMW CE 04. Model berkenaan akan berada di pasaran mulai musim 2022, dengan harga jualan bermula dari £11,700 (RM 68,162.31) untuk pasaran UK, dan $11,795 (RM 49,426.95) untuk pasaran USA.
BMW CE 04 merupakan skuter elektrik urban, boleh didapati dalam dua versi sama ada dengan kuasa maksimum 42hp atau 31hp. Sel baterinya mempunyai kapasiti 60.6 Ah (8.9 kWh), boleh ditunggang sehingga jarak sejauh 130 km (100 km untuk versi 31hp). Kelajuan maksimum untuk kedua-dua versi model tersebut mencapai angka 120 km/j.
Menggunakan pengecas biasa, tempoh masa pengecasan bateri lithium-ion pada BMW CE 04 dari kosong sehingga penuh akan mengambil masa sekitar 4 jam 20 minit. Jika menggunakan pengecas pantas yang tersedia sebagai pilihan pula, tempoh masa untuk pengecasan sehingga penuh akan berkurangan kepada hanya 1 jam 40 minit sahaja.
Untuk tunggangan yang lebih stabil dan selamat, BMW CE 04 dilengkapi teknologi ASC (Automatic Stability Control), manakala DTC (Dynamic Traction Control) tersedia untuk pilihan. Tiga mod tunggangan iaitu “ECO”, “Rain” dan “Road” merupakan ciri standard, dengan tambahan mod tunggangan “Dynamic” yang boleh didapati sebagai pilihan.
Sistem brek berprestasi tinggi BMW CE 04 didatangkan dengan sistem ABS, dan boleh didapati dengan ABS Pro sebagai ciri tambahan dan pilihan. Turut melengkapi model skuter elektrik itu termasuklah skrin TFT berwarna 10.25 inci dengan peta dan navigasi terbina dalam dan sistem sambungan ekstensif yang didatangkan sebagai ciri standard.
BMW CE 04 mempunyai sistem lampu LED sepenuhnya, sementara Adaptive Headlight Pro merupakan pilihan. Ruang kompatmen pada bahagian sisi boleh menempatkan topi keledar, manakala ruang kompatmen depan dilengkapi port pengecasan telefon bimbit jenis USB-C. Tiga skim warnanya yang menarik dikatakan berorientasikan masa depan.