Honda Winner X merupakan salah sebuah model yang ditunggu-tunggu pelancarannya di pasaran Malaysia. Model moped tersebut dijangka akan dilancarkan tidak lama lagi, namun tarikh sebenar pelancarannya masih belum diumumkan oleh Boon Siew Honda. Namun begitu di pasaran Maldives, Honda Winner X baru saja dilancarkan di sana.
Sheesha Pvt. Ltd. merupakan pengedar sah tunggal untuk motosikal Honda di pasaran negara kepulauan Maldives. Syarikat itu secara rasminya melancarkan Honda Winner X 2021 dalam bulan Jun yang lepas, dengan harga sebanyak MVR 85,600.00, bersamaan RM 23,304.35. Harga yang ditetapkan itu sememangnya tinggi untuk sesebuah moped.
Buat masa ini sempena pelancarannya, Honda Winner X ditawarkan pada harga jualan istimewa sehingga tarikh 31hb. Julai 2021, pada harga sebanyak MVR 72,000.00, iaitu bersamaan RM 19,601.79. Empat pilihan warna ditawarkan, manakala spesifikasi dan ciri-ciri teknikalnya adalah sama dengan model yang dijual di pasaran negara Vietnam.
Menurut Sheesha Pvt. Ltd., Honda Winner X di pasaran Maldives diimport sepenuhnya dari kilang Honda di Vietnam. Model tersebut dilengkapi enjin bersesaran 150cc DOHC dengan transmisi enam kelajuan dan sistem penyejukan cecair, kapasiti tangki bahan api maksimum 4.5 liter, sistem brek ABS, sistem lampu LED dan panel meter digital.