CFMOTO 250SR 2021 di pasaran China tampil dengan corak warna baharu lebih sporty

Untuk pasaran Malaysia, model sportbike full fairing dalam kelas 250cc iaitu CFMOTO 250SR telah dilancarkan pada pertengahan tahun 2020 yang lepas. Dua pilihan warna menarik ditawarkan pada ketika itu, Black dan Blue Turquoise, dan kemudiannya warna baharu White Blue telah diperkenalkan secara rasmi dalam bulan Januari tahun ini.

Kini untuk pasaran China, CFMOTO 250SR 2021 tiba dengan skim atau corak warna terbaharu yang lebih sporty dan menyerlah, yang menggabungkan pilihan warna Oren dan Biru. Untuk pasaran China, model tersebut ditawarkan pada harga jualan sebanyak CNY 21,680.00, bersamaan nilai RM 14,162.59 mengikut kadar tukaran semasa.

Spesifikasi teknikal yang melengkapi CFMOTO 250SR 2021 masih kekal sama seperti model sebelumnya. Antaranya dikuasakan enjin 249.2cc (single-cylinder, liquid-cooled, 4-stroke, DOHC) dengan sistem BOSCH EFI dan dipadankan transmisi enam kelajuan.  Janaan kuasa mencapai 27.5hp @ 9,750rpm dengan tork puncak 22Nm @ 7,500rpm.

Ciri-ciri menarik lain yang melengkapi CFMOTO 250SR termasuklah sistem lampu LED, panel meter digital TFT dengan mod Sport dan Eco, fork depan jenis upside-down, rim aloi aluminium dengan roda berukuran 110/70-R17 (depan) dan 140/60-R17 (belakang), dan sistem brek cakera depan (292mm) dan belakang (220mm) dengan sistem ABS.

Dijangkakan pasaran Malaysia akan turut menerima kehadiran warna baharu itu seperti mana di pasaran China, namun buat masa ini tarikh sebenar ketibaannya masih belum dapat dipastikan. Dengan kelajuan maksimum antara 150 ke 155 km/j, dan harga jualan sekitar RM 16k – RM 18k, pembelian model ini di pasaran tempatan pastinya berbaloi.