Untuk peminat motosikal dalam segmen sport bike di pasaran tempatan pada ketika ini, antara pilihan yang boleh didapati ialah model CFMOTO 250SR yang telah dilancarkan secara rasmi dalam bulan Julai 2020 yang lalu. Sewaktu pelancaran, dua pilihan warna menarik ditawarkan iaitu Black (Special Edition) dan Blue Turquoise (Limited Edition).
Kini untuk tahun 2021, CFMOTO 250SR ditawarkan dalam pilihan warna baharu White Blue (Special Edition), menjadikan pilihan warna yang ditawarkan ketika ini kepada tiga kesemuanya. Harga asas yang ditawarkan juga masih dalam lingkungan mampu milik, iaitu bermula dari RM 15,800.00 untuk model SE dan RM 17,800.00 untuk model LE.
CFMOTO 250SR dikuasakan enjin empat lejang satu silinder yang bersesaran 249.2cc (single-cylinder, liquid-cooled, DOHC, 4-valves), dilengkapi sistem BOSCH EFI dan dipadankan transmisi enam kelajuan dengan slipper clutch. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 27.5hp @ 9,750rpm dengan tork maksimum 22Nm @ 7,500rpm.
Antara spesifikasi menarik yang ditawarkan termasuklah sistem lampu LED, paparan meter digital TFT dengan mod Sport dan Eco, fork depan jenis upside-down, rim aloi aluminium dengan roda berukuran 110/70-R17 (depan) dan 140/60-R17 (belakang), dan sistem brek cakera depan (292mm) dan belakang (220mm) dengan sistem ABS.
Selain itu, CFMOTO 250SR dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 12.5 liter, ketinggian tempat duduk 780 mm, jarak roda 1,360 mm, jarak kelegaan bumi 135 mm dan berat 165 kg (curb weight). Dengan enjin yang mematuhi piawaian Euro 4, kelajuan maksimum CFMOTO 250SR dikatakan mampu mencapai angka 128 km/j.
Sumber gambar : Ee Tiong Motorsports Sdn Bhd FB