Untuk pasaran India, Yamaha kelmarin dengan rasminya melancarkan model terbaharu Yamaha FZ-X 2021. Model tersebut boleh didapati dalam pilihan dua varian, dengan atau tanpa sistem sambungan Yamaha Y-Connect, dan tersedia dalam tiga skim pilihan warna yang menarik dan sporty iaitu Matt Copper, Metallic Blue dan Matt Black.
Yamaha FZ-X 2021 ditawarkan pada harga jualan bermula dari ₹ 116,800 untuk varian tanpa sistem Y-Connect, bersamaan nilai RM 6,521.79. Bagi varian dengan Y-Connect, harga jualan yang ditawarkan ialah ₹ 119,800, bersamaan RM 6,689.30. Harga jualan yang ditetapkan itu boleh dikatakan sangat berpatutan dengan apa yang ditawarkan.
Yamaha FZ-X 2021 dikuasakan enjin bersesaran 149cc (Air cooled, 4-stroke, SOHC, 2-valve), dan dipadankan dengan transmisi lima kelajuan. Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 12.4PS @ 7,250rpm dengan tork puncak 13.3Nm @ 5,500rpm. Untuk perjalanan lebih jauh, ianya dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti 10 liter.
Beralih ke bahagian sistem suspensi, ianya merupakan gabungan di antara fork depan jenis teleskopik 41 mm yang hadir dengan penutup bergaya klasik, serta suspensi mono di bahagian belakang dengan ciri tujuh tahap pelarasan. Sistem brek cakera depan dan belakang pula hadir dengan ABS satu saluran, untuk ciri keselamatan yang lebih baik.
Melengkapkan tahap pengendalian Yamaha FZ-X 2021 ialah penggunaan tayar depan dan belakang tanpa tiub dengan corak bunga jenis blok, kedua-duanya bersaiz 100/80-R17 dan 140/60-R17. Ketinggian tempat duduk berada pada paras 810 mm, manakala berat motosikal (with oil & a full fuel tank) berada pada angka hanya 139 kg sahaja.
Pelbagai ciri-ciri menarik turut melengkapi Yamaha FZ-X 2021 untuk pasaran India ini, antaranya termasuklah panel meter digital LCD, soket pengecas telefon pintar, lampu depan LED dengan lampu DRL yang tampil dengan gaya rekaan unik, lampu belakang LED yang bergaya, serta tongkat sisi dengan ciri suis pemati enjin yang lebih selamat.