Kawasaki Ninja ZX-10R 2021 kini di pasaran Indonesia, harga RM 148k

Kira-kira seminggu yang lalu, Kawasaki Motor Indonesia secara rasminya melancarkan model terbaharu Kawasaki Ninja ZX-10R 2021. Tampil dengan skim warna tunggal KRT Edition, model super sport berkuasa tinggi ini ditawarkan untuk pasaran Indonesia pada harga Rp. 520,000,000, bersamaan RM 148,459.24 mengikut kadar tukaran semasa.

Kawasaki Ninja ZX-10R 2021 merupakan versi naik taraf terbaharu berbanding model generasi sebelumnya. Pada wajah depannya yang kini hadir dengan rekaan terkini yang lebih agresif, terdapat sepasang winglet yang diintegrasikan ke dalamnya. Ciri tersebut membolehkan model itu menjana lebih downforce sewaktu aksi pecutan yang pantas.

Wajah depan yang aerodinamik dan bercirikan perlumbaan itu dilengkapi sepasang lampu utama LED yang kompak, sistem intake Ram Air baharu dan windshield yang lebih tinggi, yang mana ianya secara jelas memaparkan wajah dan gaya baharu rekaan Ninja ZX-10R masa kini. Rekaan baharu itu terbukti begitu sporty dan menyerlah.

Kawasaki Ninja ZX-10R 2021 dikuasakan enjin 998cc (Liquid-cooled, 4-stroke In-Line Four, DOHC, 16 valves) dengan transmisi enam kelajuan. Enjin patuh piawaian emisi Euro 5 itu kini lebih bersih, namun kekal berkuasa dengan keluaran maksimum 203PS @ 13,200rpm (213PS with RAM Air) dan tork maksimum 114.9Nm @ 11,400rpm.

Untuk pengendalian cemerlang yang memberi fokus kepada litar, Ninja ZX-10R 2021 dilengkapi sistem suspensi berprestasi tinggi, di samping hadir dengan sistem brek depan daripada Brembo dengan cakera berkembar 330 mm untuk tahap keselamatan terbaik. Sistem brek depan dan belakang kedua-duanya turut dilengkapi sistem ABS.

Spesifikasi lain yang melengkapinya ialah air-cooled oil cooler baharu, mod tunggangan Sport, Road, Rain dan Rider (manual), panel instrumen digital TFT, sistem Electronic Cruise Control dan lencana River Mark, pertama kali digunakan pada model tanpa enjin supercas. Adakah model ini akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi?