Yamaha BW’S 2020 untuk pasaran Taiwan bersedia untuk aktiviti pengembaraan lasak

Suatu ketika dahulu kita semua tidak pernah menjangkakan bahawa sebuah model skuter bersaiz kompak mampu meredah laluan off-road yang serba mencabar. Namun masa berubah, dan kini terdapat beberapa buah model skuter bertaraf adventure yang ditawarkan di pasaran global, salah satu daripadanya ialah Yamaha BW’S 2020.

Diperkenalkan di pasaran Taiwan pada penghujung bulan Oktober yang lepas, Yamaha BW’S tampil dengan konsep ‘Wild Survivor’ dan gaya rekaan hardcore yang sangat bersesuaian untuk mereka yang gemar melakukan aktiviti lasak di luar sana. Dengan BW’S, jalanan tidak berturap kini bukan lagi halangan malah memberikan keseronokan.

Yamaha BW’S didatangkan enjin bersesaran 125cc (water-cooled, four-stroke, single-cylinder, SOHC, 4-valve) dengan teknologi Blue Core generasi terkini, yang mana ianya turut dilengkapi sistem Variable Valve Actuation (VVA). Bagaimanapun tiada maklumat mengenai jumlah kuasa dan tork, sementara transmisinya ialah automatik CVT.

Melengkapkan Yamaha BW’S sebagai sebuah model kembara lasak ialah rangka asimetri yang kukuh dan tegar, handlebar jenis togel, lampu depan jenis asimetri yang menampilkan lampu projektor yang terang, sepasang tayar bercirikan off-road, suspensi yang ditala khusus dan sistem brek UBS dengan cakera di depan dan belakangnya.

Yamaha BW’S turut dilengkapi panel meter digital LCD, pengecas USB, tangki bahan api dengan isian maksimum 6.1 liter, ketinggian tempat duduk 785 mm, tayar depan dan belakang dalam siri 120/70-12 51L dan 130/70-12 56L, berat 127 kg, sementara pilihan warna yang ditawarkan pula empat kesemuanya termasuk warna oren yang menyerlah.

Persoalannya, adakah model skuter kompak dalam kategori adventure ini akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia oleh Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd.? Lebih penting lagi adakah skuter seperti ini akan mendapat sambutan daripada rakyat Malaysia yang kebanyakannya lebih berminat untuk memiliki model-model kapcai dan moped.


Artikel Popular Minggu Ini :

Katalog elektronik Yamaha Exciter 155 VVA 2021 (Vietnam), plus video model pertama masuk ke pasaran Malaysia

Honda RS160R 2021 untuk pasaran Malaysia, adakah ianya versi Honda Winner X 160 2021 di pasaran Vietnam?