Yamaha Zuma 125 model tahun 2021 di pasaran USA

Skuter kompak Yamaha Zuma 125 model tahun 2021 telah pun berada di pasaran USA bermula bulan September 2020, dalam dua pilihan warna iaitu Ultramarine Blue dan Matte Black. Kedua-dua warna tersebut sebenarnya adalah sama dengan warna model tahun 2020 yang diperkenalkan pada bulan Ogos 2019.

Bagaimanapun harga jualan untuk Yamaha Zuma 125 model tahun 2021 didapati telah meningkat kepada $3,599 (bersamaan RM 14,988.04 mengikut kadar semasa), berbanding harga yang ditawarkan untuk model tahun 2020 iaitu sebanyak $3,499 (bersamaan RM 14,571.59 mengikut kadar semasa).

Yamaha Zuma 125 2021 di pasaran USA dilengkapi enjin bersesaran 125cc (forced air-cooled, 4-stroke SOHC single; 4 valves) dengan sistem suntikan bahan api (fuel injection), dan dipadankan dengan sistem transmisi automatik V-belt. Tangki bahan apinya mempunyai kapasiti maksimum 1.7 gelen, bersamaan 6.4 liter.

Sistem suspensi model skuter berkenaan terdiri daripada fork teleskopik di bahagian depan, dengan gandingan penyerap hentak berkembar (dual shocks) di bahagian belakang. Untuk ciri keselamatan yang lebih baik, sistem brek depan dan belakang didatangkan jenis cakera hidraulik, masing-masing berukuran 245 mm dan 200 mm.

Untuk keselesaan, kawalan dan pengendalian yang stabil, ianya dilengkapi tayar depan dalam siri 120/70-12 dan tayar belakang dalam siri 130/70-12. Antara kelebihan lain yang ditawarkan oleh Yamaha Zuma 125 2021 ini termasuklah meter digital LCD, lampu depan halogen yang terang dan ruang simpanan yang luas di bawah tempat duduk.