Yamaha Sniper 150 2020 kini tidak lagi ditawarkan di pasaran Filipina, digantikan dengan model Yamaha Sniper 155 2021

Model super moped terbaharu Yamaha Sniper 155 dan Sniper 155R 2021 baru saja dilancarkan di pasaran Filipina kelmarin. Sebelum itu sama seperti di pasaran Vietnam (Yamaha Exciter 150) dan Malaysia (Yamaha Y15ZR), Yamaha Sniper 150 turut dijual di sana, dalam pilihan warna Race Blu, Yellow Hornet, Black Raven dan Matte Green.

Bagaimanapun tidak seperti di pasaran Vietnam dan Malaysia yang masih menawarkan model Yamaha Exciter 150 dan Yamaha Y15ZR, selepas pelancaran model terbaharu Yamaha Exciter 155 VVA 2021 dan Yamaha Y16ZR 2021, pasaran Filipina nampaknya tidak lagi menawarkan model Yamaha Sniper 150, berdasarkan maklumat yang terkini.

Merujuk kepada laman sesawang rasmi Yamaha Motor Philippines Inc., ketika ini tiada lagi paparan model Yamaha Sniper 150 2020 di dalam laman web tersebut, sebaliknya telah digantikan dengan paparan model Yamaha Sniper 155. Mungkin ianya merupakan strategi perniagaan Yamaha di sana, tidak seperti di pasaran Vietnam dan Malaysia.

Untuk peminat Yamaha Sniper 150 di pasaran Filipina, nampaknya mereka kini terlepas peluang untuk memiliki model tersebut, yang sebelum ini dijual pada harga P102,900.00 (RM 8,892.33). Yamaha Sniper 155 mempunyai kelebihan dari pelbagai aspek, namun Yamaha Sniper 150 juga tidak kurang hebatnya dan masih mempunyai ramai peminat.