Salah sebuah model skuter bergaya sporty dan lengkap dengan ciri-ciri praktikal yang ditawarkan di pasaran Malaysia pada ketika ini ialah Yamaha NMAX 2020 terbaharu. Model tersebut dilancarkan dalam bulan Disember 2020 yang lepas, dalam dua pilihan warna Merah dan Kelabu. Harga jualan asasnya adalah sebanyak RM 8,998.00.
Yamaha NMAX dikuasakan enjin Blue Core bersesaran 155cc yang dilengkapi teknologi canggih Variable Valve Actuation (VVA), dan menghasilkan kuasa maksimum 15.15hp (11.3kW) 8,000rpm dengan tork maksimum 13.9Nm @ 6,500rpm. Enjin berprestasi dan cekap itu kemudiannya dipadankan dengan transmisi automatik V-belt yang lancar.
Antara ciri-ciri menarik yang ditawarkan oleh model tersebut termasuklah tangki bahan api 7.1 liter untuk perjalanan lebih jauh, dilengkapi sistem Smart Motor Generator untuk penghidupan enjin yang lebih senyap, panel meter digital LCD, lampu depan dan lampu belakang LED, lampu hazard, sistem Stop & Start dan juga soket pengecas 12V.
Selain itu ianya juga dilengkapi ruang simpanan barang-barang di bawah tempat duduk seluas 23.3 liter yang boleh memuaskan sebuah topi keledar. Bagaimanapun Yamaha NMAX yang ditawarkan di pasaran Malaysia pada ketika ini merupakan versi standard sahaja, berbanding versi lebih premium di beberapa pasaran negara jiran ketika ini.
Melalui pemerhatian terhadap strategi pasaran model-model skuter Yamaha di rantau Asia Tenggara, dijangkakan pasaran Malaysia akan turut menerima versi lebih canggih untuk model Yamaha NMAX tidak lama lagi iaitu Yamaha NMAX Connected 2021, yang ketika ini telah pun dijual di pasaran Indonesia, Filipina dan Thailand baru-baru ini.
Antara ciri-ciri lebih canggih yang bakal ditawarkan melalui model tersebut ialah sistem sambungan canggih aplikasi Yamaha Y-Connect, Smart Key System, sistem brek dual-channel ABS dan TCS (Traction Control System). Di pasaran Malaysia, sistem aplikasi Yamaha Y-Connect baru saja diperkenalkan melalui model Yamaha NVX 2021.
Setakat ini Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. masih belum memberikan sebarang petunjuk bilakah model Yamaha NMAX Connected 2021 ini akan dilancarkan di pasaran Malaysia, namun ianya dijangka bakal dilancarkan tidak lama lagi. Mungkin ianya akan dilancarkan dalam suku ketiga atau suku keempat tahun ini, sama-sama kita tunggu.