SYM Jet X 150 2021 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga asas bermula dari RM 8,888.00

MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. selaku pengedar sah motosikal dan skuter berjenama SYM di pasaran Malaysia hari ini dengan rasminya melancarkan sebuah model skuter terbaharu, dikenali dengan nama SYM Jet X 150 2021. Untuk pasaran Malaysia, model tersebut didatangkan dalam dua pilihan varian iaitu Standard dan Special Edition (SE).

SYM Jet X 150 versi Standard didatangkan dalam tiga pilihan warna yang menarik iaitu Merah, Kuning dan Kelabu, manakala bagi versi SE, ianya hanya tersedia dalam pilihan warna tunggal Biru Chameleon yang elegan. Harga jualan asas yang ditawarkan adalah sebanyak RM 8,888.00 untuk versi Standard, dan diikuti RM 9,188.00 untuk versi SE.

SYM Jet X 150 dikuasakan enjin bersesaran 149.6cc (single-cylinder, 4-stroke, 2-valve, SOHC), dilengkapi sistem suntikan bahan api elektronik dan dipadankan dengan sistem transmisi automatik CVT. Enjin yang mematuhi piawaian emisi Euro 4 itu menghasilkan kuasa maksimum 12.3hp @ 8,000rpm dengan tork maksimum 12Nm @ 6,000rpm.

Beralih ke bahagian sistem suspensi, fork depannya merupakan jenis teleskopik, diikuti oleh suspensi belakang jenis berkembar dengan ciri boleh laras untuk tahap keselesaan terbaik. Untuk ciri keselamatan maksimum, brek cakera depannya berdiameter 260 mm dengan gandingan brek cakera belakang 220 mm, lengkap dengan sistem brek CBS.

SYM Jet X 150 dilengkapi rim roda aloi aluminium berukuran 14 inci di bahagian depan dan belakang, masing-masing dipasangkan tayar tanpa tiub bersaiz 100 / 90-R14 dan 110 / 80-R14. Untuk perjalanan yang lebih jauh, ianya dibekalkan tangki petrol dengan kapasiti maksimum 7.5 liter. Ketinggian tempat duduknya berada pada paras 780 mm.

Menjadikan SYM Jet X 150 ini lebih istimewa ialah ciri-ciri yang melengkapinya, seperti sistem kunci pintar bersama penggera untuk keselamatan, paparan panel meter digital LCD dengan ciri skrin auto dimmer, sistem lampu LED sepenuhnya, skrin penghadang angin (wind shield), ruang di bawah tempat duduk seluas 18 liter dan pengecas USB.

Untuk ketenangan fikiran pemiliknya, SYM Jet X 150 2021 didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km, yang mana tiba dahulu. Selain itu MForce turut menyediakan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen secara di atas talian untuk kemudahan semua pelanggannya, walau di mana saja berada.