Yamaha NMAX 155 2020 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga asas RM 8,998.00

Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) hari ini melancarkan model skuter terbaharu Yamaha NMAX 155 2020. Boleh didapati dalam dua pilihan warna yang menarik dan elegan iaitu Merah dan Kelabu, model berkenaan akan tiba secara rasmi di pengedar-pengedar sah HLYM di seluruh negara mulai bulan Disember 2020.

Yamaha NMAX 155 2020 untuk pasaran Malaysia merupakan model yang sama yang telah dilancarkan di pasaran Indonesia, Thailand dan Filipina, dan ianya juga telah dilancarkan di pasaran Eropah baru-baru ini, bersama-sama versi NMAX 125. Untuk pasaran Malaysia, harga asas yang ditawarkan adalah sebanyak RM 8,998.00.

Yamaha NMAX 155 2020 dikuasakan enjin Blue Core bersesaran 155cc dengan teknologi canggih Variable Valve Actuation (VVA), yang menghasilkan kuasa maksimum 15.15hp (11.3kW) 8,000rpm dengan tork maksimum 13.9Nm @ 6,500rpm. Enjin tersebut kemudiannya dipadankan dengan transmisi automatik V-belt. Untuk perjalanan yang lebih jauh, tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti maksimum 7.1 liter.

Antara ciri-ciri menarik yang didatangkan untuk Yamaha NMAX 155 2020 terbaharu ini ialah penampilan faceliftnya yang lebih bergaya, dilengkapi Smart Motor Generator untuk penghidupan enjin yang lebih senyap, lampu utama dengan enam mentol LED, lampu belakang LED, lampu keselamatan hazard, panel meter digital LCD yang lebar, butang menu, sistem Stop & Start, ruang lantai yang luas untuk keselesaan, soket pengecas 12V dan ruang barangan peribadi di bawah tempat duduk seluas 23.3 liter.

Bagaimanapun berbanding model yang ditawarkan di pasaran Indonesia, Yamaha NMAX 155 2020 di pasaran Malaysia tidak dilengkapi ciri-ciri yang pastinya sangat dialu-alukan seperti sistem brek dual-channel ABS, Smart Key System, TCS (Traction Control System) dan juga sistem sambungan canggih aplikasi Yamaha Y-Connect.


Artikel Popular Minggu Ini :

Dayang ADV150 diilhamkan daripada model Honda ADV150, dilengkapi enjin lebih berkuasa dan kamera depan belakang

Pelancaran rasmi Honda ADV150 2021 dijangka pada bulan Februari depan, harga asas sekitar RM 14k

Penampilan baharu Yamaha Exciter 155 VVA 2021 apabila dipasangkan lampu depan (headlamp) Yamaha Exciter 150