Ramalan harga Honda Winner X (Honda RS150R V3) 2021 yang bakal dilancarkan di pasaran Malaysia

Honda Winner X (Honda RS150R V3) merupakan sebuah model moped yang ketika ini sangat ditunggu-tunggu pelancaran rasminya di pasaran Malaysia. Sebelum ini peminat motosikal tempatan berasa agak skeptikal mengenai kemungkinan pelancaran model berkenaan, sehinggalah spyshot pertamanya berjaya dikesan pada bulan Mac 2021.

Kemudiannya spyshot kedua dan ketiga muncul dalam bulan April 2021, diikuti dengan lebih banyak gambar-gambar spyshot model tersebut yang telah dikongsikan di dalam laman media sosial. Paparan gambar-gambar spyshot itu secara tidak langsung telah membuktikan bahawa Boon Siew Honda bakal melancarkannya dalam masa terdekat.

Berkenaan tarikh pelancaran rasmi, beberapa maklumat yang diperolehi mengatakan Honda Winner X untuk pasaran tempatan bakal dilancarkan sama ada dalam bulan Mei, Jun atau Julai 2021. Namun apa yang paling menarik perhatian ialah berapakah harga jualan yang bakal ditawarkan untuk model tersebut, adakah di bawah RM 9k sahaja?

Berdasarkan jangkaan awal, harga Honda Winner X atau Honda RS150R V3 tidaklah terlalu mahal, namun ianya akan ditetapkan sedikit tinggi berbanding harga asas bagi model Honda RS150R 2020, yang bermula dari RM 8,199.00 sehingga RM 8,499.00. Mungkin harga asasnya akan bermula dari RM 8,500.00 sehinga RM 9,500.00 sahaja.

Jika benar Boon Siew Honda akan menetapkan harga asas untuk Honda Winner X di dalam lingkungan RM 8,500.00 sehingga RM 9,500.00, bergantung kepada versi sama ada Standard atau ABS, harga tersebut boleh dikatakan berpatutan. Tidak terlalu jauh berbeza dengan harga di pasaran Vietnam, antara RM 8.2k sehingga RM 9k sahaja.

Pada masa yang sama, berita gembiranya ialah Honda Winner X masih lagi dikuasakan enjin bersesaran 150cc. Ini bakal membolehkannya menerima insentif pengecualian duti eksais bagi model-model motosikal di bawah 150cc dan dipasang secara CKD atau pemasangan tempatan, bermula dari tarikh 01hb. April sehingga 31hb. Disember 2021.

Ini bermakna jika Honda Winner X dilancarkan dan dijual di pasaran Malaysia dalam tempoh pengecualian duti eksais tersebut, harga jualan asasnya akan menjadi lebih rendah dan lebih mampu milik. Mungkin dalam lingkungan RM 7.5k sehingga RM 8.5k sahaja, yang pasti lebih berbaloi jika dibandingkan dengan model-model saingannya.

Bagaimanapun mungkin harapan untuk membeli Honda Winner X di pasaran Malaysia pada harga yang lebih rendah, sekitar RM 7.5k sehingga RM 8.5k, tidak menjadi realiti sepenuhnya. Ini kerana jika model ini laris dan mendapat permintaan yang tinggi, pihak pekedai mungkin akan menetapkan harga baru yang lebih tinggi daripada harga asal.

Namun begitu harganya tidaklah akan menjadi terlalu tinggi, kerana ianya kini terpaksa bersaing dengan model-model lain yang tidak kurang hebatnya seperti Yamaha Y15ZR yang ketika ini dijual di bawah harga RM 9.5k, Benelli R18i yang baru saja dilancarkan, serta model baharu Yamaha Y16ZR yang tetap laris walaupun harga berbelas ribu.