Aprilia baru-baru ini dengan rasminya memperkenalkan Aprilia RS 125 2021 terbaharu untuk pasaran Eropah. Model sport bike 125cc itu kini tampil dengan gaya rekaan serba baharu yang lebih menarik dan sporty berbanding model Aprilia RS 125 2020, dan turut dilengkapi lampu depan triple yang diinspirasikan daripada model Aprilia RS660 2021.
Sistem lampu pada model berkenaan kini semuanya LED, termasuk lampu signal pada bahagian depan yang disepadukan dengan lampu utama. Panel instrumen LCD digital baharu pula hadir dengan paparan pelbagai maklumat penting perjalanan, serta boleh disambungkan ke platform multimedia Aprilia MIA melalui sistem sambungan Bluetooth.
Sistem brek ABS dua saluran yang canggih merupakan hasil kolaborasi dengan Bosch, yang menjanjikan daya pemberhentian maksimum yang lebih selamat. Untuk kestabilan dan tahap cengkaman yang lebih baik sewaktu tunggangan, ianya dilengkapi sepasang tayar Michelin, yang mana kelebaran tayar belakang kini mencapai sehingga 140 mm.
Aprilia RS 125 2021 dilengkapi casis aluminium dengan struktur yang kukuh dan tegar, membolehkannya menawarkan tahap kestabilan dan pengendalian maksimum, ketika beraksi di jalanan mahu pun di litar. Sumbangan kepada aspek tersebut turut diberikan oleh fork depan upside-down dan suspensi monoshock dengan lengan ayun asimetrik.
Sistem brek dibawakan daripada model motosikal dalam kategori lebih besar, dilengkapi kaliper radial yang dipadankan dengan cakera keluli berukuran 300 mm. Tangki bahan api menawarkan kapasiti tertinggi di dalam kelasnya kepada 14.5 liter, di samping ruang kompatmen yang luas di bawah tempat duduk, lengkap dengan port pengecas USB.
Semi-handlebar pada RS 125 kini dipasang pada posisi 18 mm lebih tinggi untuk lebih keselesaan, tanpa berkompromi dengan aspek kualiti tunggangannya yang sporty. Enjin kini merupakan unit baharu dengan ECU Marelli MIUG4, dipadankan bersama-sama sistem ekzos rekaan baharu sepenuhnya dengan sistem pemangkin yang lebih cekap.
Menurut Aprilia, enjin baharu tersebut menawarkan tahap prestasi yang lebih berkuasa, namun tiada data mengenai jumlah janaan kuasa dan tork maksimumnya. Pilihan warna yang ditawarkan ialah Aprilia Black dan Sintesi Blue. Turut boleh didapati ialah versi GP Replica yang didatangkan standard sistem quick shift dan tempat duduk jenis tunggal.
Aprilia RS 125 2021 merupakan sebuah model sport bike untuk penunggang muda di pasaran Eropah. Untuk pasaran Malaysia, Aprilia RS 125 pernah ditawarkan suatu ketika dahulu, dengan harga yang tinggi. Oleh itu kemungkinan untuk melihat model ini masuk semula ke pasaran tempatan adalah tipis dan bolehlah dikatakan mustahil.