Ride to Reach: Boon Siew Honda santuni komuniti, promosikan keselamatan jalan raya

Lebih 6,600 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan sepanjang tahun 2025. Golongan paling tinggi terkorban sudah tentunya penunggang dan pembonceng motosikal.

Ini bukan suatu cerita baharu tetapi perkara sama dilaporkan tahun demi tahun. Bukan mudah mengubah sesuatu sikap dan mentaliti pengguna jalan raya dalam tempoh singkat.

Pun begitu, usaha berterusan perlu dibuat untuk menyemai kesedaran daripada pelbagai aspek dan semua pihak. Boon Siew Honda (BSH) antara pihak yang menyertai inisiatif ini.

Syarikat itu menyertai Karnival Kampung Angkat Madani menerusi platform Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) utamanya iaitu Ride to Reach (R2R).

Apa yang BSH lakukan ialah:

  • Pasukan Honda Certified Safety Riding menyampaikan ceramah Keselamatan Jalan Raya kepada kira-kira 1,000 penduduk dan komuniti setempat.
  • Apa dikongsi ialah amalan tunggangan berhemah, posisi tunggangan betul, kepentingan memakai pakaian keselamatan lengkap dan asas kesedaran keselamatan jalan raya.
  • BSH juga mengagihkan topi keledar motosikal kepada 100 peserta dan melakukan pemeriksaan 10 poin keselamatan motosikal untuk pelbagai jenama motosikal.
  • Pemilik motosikal juga dididik mengenai kepentingan penyelenggaraan pencegahan secara berkala.

Ketua Pegawai Pentadbiran BSH yang juga Pengerusi Program CSR Ride to Reach, Rosidan Haron berkata:

“Keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama yang melangkaui kenderaan yang kami hasilkan.

“Melalui platform seperti Karnival Kampung Angkat MADANI, kami dapat berinteraksi secara langsung dengan komuniti untuk mempromosikan amalan tunggangan selamat, menggalakkan penggunaan kelengkapan keselamatan yang betul serta menyokong aspek penyelenggaraan motosikal yang penting.

“Usaha akar umbi secara kolektif ini memberi sumbangan bermakna ke arah aspirasi jangka panjang kami untuk mewujudkan jalan raya yang lebih selamat untuk semua.”

Program Kampung Angkat MADANI merupakan inisiatif kerajaan Persekutuan dan BSH sudah menyertai acara tersebut sebanyak tiga kali untuk memberi  manfaat secara langsung kepada lebih 350 individu. Usaha seperti ini akan diteruskan BSH untuk membawa program keselamatan mendekati komuniti lain di seluruh negara.