Benelli R18i 2021 kini tiba di wakil pengedar seluruh Malaysia

Model moped terbaharu Benelli R18i 2021 baru saja dilancarkan di pasaran Malaysia, dalam dua varian Standard dan Special Edition. Bagi varian Standard, ianya ditawarkan pada harga asas RM 7,999.00, dengan pilihan warna Merah dan Hitam. Untuk varian Special Edition yang tampil dalam warna Biru, harga jualan asasnya ialah RM 8,299.00.

Tempoh jaminan yang diberikan oleh pengeluarnya untuk model tersebut adalah selama 2 tahun atau jarak perjalanan 20,000 km, mana-mana yang tiba terdahulu. Untuk anda yang mahu memiliki model ini, berita baiknya ialah ianya telah pun tiba di setiap wakil jualan atau pengedar di seluruh negara, bermula tarikh 12hb. April 2021 yang lepas.

Kelmarin, Arena Motosikal telah pun melihat sendiri model Benelli R18i ini secara dekat di kedai motosikal SLM Marketing Sdn. Bhd. yang beralamat di Jalan Sekerat, Sungai Petani, Kedah, yang tiba dalam tiga pilihan warna kesemuanya. Ternyata pandangan di luar sana sama sekali berbeza berbanding melihat model tersebut di dalam gambar.

Ini kerana penampilan Benelli R18i ini kelihatan sangat sporty dan padat, sama ada di bahagian depannya atau di bahagian belakangnya yang kini mempunyai rekaan ekor belakang yang lebih cantik berbanding model terdahulu Benelli RFS150i. Penggunaan warna yang terang juga didapati bersesuaian dengan karakter motosikal berkuasa ini.

Kelebihan utama Benelli R18i sudah tentulah enjinnya yang berkapasiti 174cc (single-cylinder, 4-stroke, 4-valves, SOHC) dengan transmisi enam kelajuan, dan menghasilkan kuasa maksimum 18hp @ 9,500rpm dengan tork puncak 15.1Nm @ 7,000rpm. Paling menarik sekali, kelajuan maksimumnya dikatakan mampu mencapai angka 155 km/j.

Dengan pelancaran Benelli R18i 2021 ini, secara tidak langsung membuktikan bahawa pasaran model-model motosikal moped di negara kita sangat besar pada ketika ini, dan mendapat permintaan yang sangat tinggi. Yang penting model mana pun yang kita pilih, ianya adalah pilihan dan citarasa masing-masing, berdasarkan minat dan juga bajet.