Spyshot Honda Winner X (Honda RS150R V3) di Malaysia, pelancaran dijangka pada bulan Jun atau Julai 2021

Model moped Honda Winner X yang ketika ini dijual secara rasmi di pasaran Vietnam bakal dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi. Buktinya ialah melalui gambar spyshot model tersebut yang sedang ditunggang uji di jalan raya Malaysia sebelum ini, yang dipercayai dilakukan oleh pihak Boon Siew Honda di Pulau Pinang baru-baru ini.

Jika sebelum ini kita dapat melihat paparan gambar spyshot model tersebut di bahagian belakang, kini gambar spyshot terkini yang dikongsikan oleh saudara Nik Zayne telah menunjukkan bahagian depan model berkenaan. Lokasi penampakan model tersebut mungkin di kawasan sekitar Batu Kawan, Pulau Pinang, tidak jauh dari kilang Honda.

Setakat ini berdasarkan maklumat daripada beberapa sumber, Honda Winner X (Honda RS150R V3) dijangka bakal dilancarkan di pasaran Malaysia dalam bulan Jun atau Julai tahun ini. Model tersebut juga dikatakan bakal menggantikan model Honda RS150R V2 yang ketika ini masih dijual di pasaran Malaysia, pada harga di bawah RM 8k sahaja.

Dengan pelancaran Honda Winner X itu nanti, ianya pasti akan memberikan saingan sengit kepada model Yamaha Y16ZR yang baru saja dilancarkan oleh HLYM pada Mac yang lepas. Harganya pula dijangka tidak akan melebihi nilai RM 10k, mungkin sekitar RM 9.5k ke atas, iaitu masih dalam lingkungan harga yang boleh dikatakan kompetetif.