Yamaha Y15ZR V2 2020 diperkenalkan dalam empat pilihan warna baharu, harga asas kekal sama RM 8,168.00

Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) dengan rasminya memperkenalkan Yamaha Y15ZR V2 versi 2020, yang kini tampil dengan empat pilihan warna terbaharu. Keempat-empat pilihan warna terbaharu itu ialah Matt Titan, Cyan, Blue dan Red, yang hadir bersama-sama rekaan grafik terkini yang kelihatan lebih segar dan sporty.

Menurut HLYM, harga asas untuk Yamaha Y15ZR V2 2020 di pasaran tempatan kekal tidak berubah iaitu sebanyak RM 8,168.00 (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Di samping itu, setiap pembelian model motosikal moped popular itu akan turut menerima kunci cakera Yamaha bernilai RM 100.00 secara percuma.

Dari segi aspek teknikal bagaimanapun tiada sebarang perubahan, bermakna Yamaha Y15ZR V2 2020 kekal dikuasakan enjin bersesaran 150cc (liquid-cooled, 4-stroke SOHC, single cylinder) dengan padanan transmisi lima kelajuan. Kuasa maksimumnya berada pada tahap 15.15hp @ 8,500rpm dengan tork maksimum 13.8Nm @ 7,000rpm.

Pada tahun depan, dijangkakan HLYM akan melancarkan versi terbaharu Yamaha Y15ZR V3 2021, yang bakal tampil dengan gaya rekaan baharu dan enjin bersesaran 155cc dengan teknologi canggih VVA. Setakat ini Yamaha Y15ZR V3 2021 sedang rancak menjalani ujian jalan raya di Malaysia, sama-sama kita tunggu ketibaannya.