Model kapcai unik Honda Cross Cub 110 2021 di pasaran domestik Jepun kini tampil dengan pilihan warna baharu ‘Puco Blue’, hanya tersedia dalam edisi terhad 2,000 unit sahaja. Jualannya akan bermula pada tarikh 22 Julai 2021, dengan harga jualannya ditetapkan sebanyak 341,000 Yen, bersamaan RM 12,898.12 mengikut kadar semasa.
Sesuai dengan namanya yang menggunakan terma ‘cross’, model tersebut mempunyai keupayaan untuk meredah laluan yang agak mencabar. Oleh itu ianya dilengkapi tayar depan dan belakang dengan bunga semi-block yang lebih tahan lasak, lampu hadapan LED dengan perlindungan, termasuk gaya dan kelengkapan khusus untuk aktiviti luar.
Honda Cross Cub 110 dikuasakan enjin bersesaran 109cc (air-cooled, 4-stroke, OHC, single cylinder) dengan teknologi PGM-FI, dan dipadankan kotak gear empat kelajuan. Enjin tersebut menghasilkan kuasa maksimum 8.0PS @ 7,500rpm dan tork maksimum 8.5Nm @ 5,500rpm. Tangki bahan apinya hadir dengan kapasiti maksimum 4.3 liter.
Sistem suspensinya terdiri daripada fork depan jenis teleskopik, bergandingan dengan penyerap hentak belakang berkembar jenis konvensional. Sistem brek jenis dram sudah memadai di kedua-dua bahagian rodanya, yang terpasang tayar depan dan belakang dalam ukuran yang sama 80/90-17. Selanjutnya, berat keseluruhannya hanya 106 kg.