Aprilia Tuono 660 2021 diperkenalkan secara rasmi, kembar kepada model Aprilia RS 660 2021

Pada bulan Oktober 2020 yang lepas, Aprilia secara rasminya memperkenalkan model sport full fairing Aprilia RS 660 2021 untuk pasaran Eropah. Hari ini pula, model kembarnya dalam versi naked iaitu Aprilia Tuono 660 2021 rasmi diperkenalkan, dalam tiga pilihan warna yang menarik iaitu Iridium Grey, Concept Black dan Acid Gold.

Sebagai sebuah model naked, Aprilia Tuono 660 menawarkan pengalaman tunggangan yang lincah dan lebih menyeronokkan. Model tersebut didatangkan bersama-sama ciri tunggangan dengan posisi lebih tinggi dan gagah, serta handlebar yang lebih besar dan lebar berbanding model Aprilia RS 660 yang hadir sebagai sebuah jentera litar sporty.

Sistem penjana kuasa yang melengkapi Aprilia Tuono 660 adalah sama seperti mana yang dimiliki oleh model Aprilia RS 660. Berdasarkan maklumat daripada siaran akhbar, jumlah kuasa yang dihasilkannya adalah sebanyak 93.7hp, memberikan nisbah kuasa kepada berat yang luar biasa kepada jentera dengan berat 183 kg (kerb weight) itu.

Enjin yang bersesaran 659cc (parallel twin-cylinder, 4-stroke, liquid cooled, DOHC, four valves per cylinder) tersebut seterusnya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan, lengkap dengan sistem Aprilia Quick Shift (AQS) up and down yang canggih. Pacuan akhir (final drive) pada Tuono 660 seterusnya direka lebih pendek berbanding RS 660.

Beralih ke bahagian elektronik, Aprilia Tuono 660 dibekalkan sistem pendikit elektronik Ride-by-Wire bersama-sama six-axis inertial platform yang menguruskan pakej APRC yang merangkumi teknologi seperti ATC (multi-level traction control), AWC (anti wheelie control), AEB (engine braking), AEM (engine maps) dan ACC (cruise control).

Untuk memudahkan kawalan terhadap kesemua sistem elektronik berkenaan melalui paparan instrumen digital TFT berwarna, Aprilia telah menyediakan lima tahap Riding Modes (tiga untuk tunggangan jalanan dan dua untuk litar), yang mana penunggangnya hanya perlu membuat pilihan berdasarkan gaya tunggangan terbaik yang dimahukan.

Aprilia Tuono 660 juga didatangkan sistem suspensi Kayaba talaan khas, lampu depan LED bergaya triple dengan lampu DRL, sistem brek ABS daripada Brembo dengan sepasang cakera depan 320mm dan cakera belakang tunggal 220 mm, serta turut dilengkapi teknologi Multimap ABS Cornering untuk tahap keselamatan maksimum.

Setakat ini untuk pasaran Malaysia, model Aprilia RS 660 2021 dikatakan bakal masuk ke pasaran tempatan, namun tarikh yang tepat masih belum dapat ditentukan. Untuk model Aprilia Tuono 660 2021 pula, tidak pasti sama ada ianya akan turut dilancarkan bersama-sama model Aprilia RS 660, bagi melengkapkan pilihan untuk kedua-duanya.


Artikel Popular Minggu Ini :

Katalog elektronik Yamaha Exciter 155 VVA 2021 (Vietnam), plus video model pertama masuk ke pasaran Malaysia

Honda RS160R 2021 untuk pasaran Malaysia, adakah ianya versi Honda Winner X 160 2021 di pasaran Vietnam?