Honda CBR150R 2021 dilancarkan di pasaran Filipina, harga jualan bersamaan RM 13,534.48

Generasi terbaharu Honda CBR150R 2021 buat pertama kalinya dilancarkan secara rasmi di pasaran Indonesia dalam bulan Januari 2021 yang lepas. Kemudiannya model tersebut dibawa masuk ke pasaran Vietnam baru-baru ini oleh pengimport bebas, dan kini pada kelmarin ianya dilancarkan pula secara rasmi untuk pasaran Filipina.

Untuk pasaran Filipina, Honda CBR150R 2021 hanya didatangkan dalam pilihan warna tunggal Tricolor, yang sebelum itu diperkenalkan di pasaran Indonesia pada Februari yang lalu. Harga jualan yang ditetapkan untuk model sport bike full fairing itu di pasaran Filipina adalah sebanyak ₱ 159,900.00, bersamaan RM 13,534.48 (kadar semasa).

Enjinnya bersesaran 149cc (1-cylinder, 4-stroke, DOHC, 4-valve, liquid-cooled) dengan transmisi enam kelajuan, dan menghasilkan 16hp @ 8,000rpm dengan tork 13.7Nm @ 7,000rpm. Agak menghairankan kerana di pasaran Indonesia, model tersebut menjana kuasa maksimum 17.1PS @ 9,000rpm dengan tork maksimum 14.4Nm @ 7,000rpm.

Spesifikasi dan ciri-ciri lain pada model berkenaan termasuklah Assist & Slipper Clutch, fork depan jenis terbalik, panel meter digital, sistem lampu LED, sistem brek cakera, tayar depan 130/70 – 17, tayar belakang 100/80 – 17, tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 12 liter, ketinggian tempat duduk 788 mm dan berat 137 kg (curb weight).

Cuma apa yang terkurang ialah untuk pasaran Filipina, Honda CBR150R 2021 ini tidak ditawarkan dalam versi ABS. Untuk pasaran Malaysia pula, model tersebut dikatakan telah dibawa masuk oleh Boon Siew Honda, namun maklumat ini belum dapat disahkan kesahihannya. Jika benar, pelancarannya mungkin akan berlangsung hujung tahun ini.