Bertempat di acara pameran automotif Indonesia International Motor Show (IIMS) 2021 yang berlangsung dari 15 sehingga 25 April 2021, pengeluar skuter dari Itali iaitu Italjet telah mempamerkan model skuter Italjet Dragster Limited Edition 2021 yang tampil unik dan luar biasa, seterusnya telah melancarkannya untuk pasaran Indonesia.
Italjet Dragster Limited Edition dikeluarkan dalam jumlah terhad 499 unit sahaja untuk pasaran di seluruh dunia, dan tampil dengan skim warna eksklusif Black / Magnesium Gold. Untuk pasaran Indonesia, pengedarnya telah berjaya mendapatkan sebanyak 40 unit model tersebut, dengan harga jualan Rp. 145 juta, bersamaan RM 41,183.60 OTR.
Menurut Italjet berdasarkan siaran akhbar yang diterbitkan pada bulan Jun 2020 yang lalu, tempahan untuk model Italjet Dragster Limited Edition ini datangnya daripada lebih 30 buah negara di seluruh dunia, antaranya Jerman, UK, Itali, Belanda, Perancis dan Austria di Eropah dan Taiwan, Filipina, Jepun, Vietnam, Korea dan Indonesia di Asia.
Italjet Dragster Limited Edition untuk pasaran Indonesia merupakan versi dengan enjin 200cc (4-stroke, single-cylinder, 4-valves, DOHC, liquid-cooled), dipadankan transmisi automatik CVT dan menawarkan kuasa maksimum 19.8hp @ 8,250rpm dengan tork maksimum 17Nm @ 6,250rpm. Kapasiti maksimum tangki bahan apinya ialah 7 liter.
Antara spesifikasi teknikal yang melengkapi Italjet Dragster Limited Edition termasuklah kerangka trellis, suspensi belakang ‘Paioli Single Hydraulic Shock Absorber’ dengan ciri boleh laras, sistem stereng bebas S.I.S yang unik dengan ciri boleh laras, brek cakera depan 175 mm dengan ABS dan cakera belakang 240 mm dengan kaliper Brembo.
Model skuter tersebut berdiri di atas tayar depan dan belakang dengan ukuran masing-masing 120/70-12 dan 140/60-13, dengan ketinggian tempat duduk berada pada paras 770 mm. Berat model skuter tersebut pula hanyalah 112 kg sahaja, manakala dimensi jarak rodanya mencapai ukuran 1,345 mm, panjang 1,870 mm dan lebar 680 mm.
Selain daripada model Limited Edition, Italjet Dragster turut ditawarkan dalam beberapa pilihan warna lain untuk versi biasa iaitu merah, kuning dan juga hitam. Untuk pasaran negara kita Malaysia, setakat ini belum ada maklumat sama ada model skuter unik dan luar biasa ini akan turut ditawarkan, sama ada dalam versi 125cc atau pun 200cc.