WMoto Malaysia siarkan bayangan rasmi model skuter baharu yang bakal dilancarkan esok

WMoto Malaysia sejak beberapa hari yang lalu rancak menyiarkan teaser demi teaser berkenaan sebuah model baharu yang bakal dilancarkan. Akhirnya teaser terakhir yang disiarkan pada hari ini jelas menunjukkan paparan sebuah model skuter terbaharu, dan sekali pandang ianya dijangkakan sebuah model skuter maxi dengan enjin 250cc.

Jika benar seperti mana yang diperkatakan sebelum ini melalui artikel terdahulu, ianya bakal memberikan saingan sengit kepada model Modenas Elegan 250 ABS. Secara tidak langsung inilah yang dimahukan oleh peminat skuter tempatan, apabila mereka kini mempunyai lebih banyak pilihan sebelum membuat keputusan untuk membeli.

Model tersebut akan dilancarkan secara rasmi melalui saluran YouTube MForce TV dan juga melalui laman Facebook WMoto Malaysia, bermula pada jam 8.00 malam esok. Berdasarkan beberapa petunjuk awal, skuter maxi itu akan dilengkapi ciri-ciri menarik seperti kunci keyless, sistem brek ABS, sistem lampu LED dan ruang storan yang luas.

Berkenaan harga, ianya dijangka akan ditawarkan pada harga yang berpatutan supaya kekal kompetetif berbanding pesaingnya yang lain. Paling menarik sekali jika harganya ditetapkan di bawah RM 15k, pasti ianya akan mendapat sambutan. Untuk maklumat selanjutnya yang lebih tepat, kita tunggu pelancaran rasmi model ini pada malam esok.