WMoto Malaysia secara rasminya telah mengumumkan bahawa syarikat tersebut akan melancarkan sebuah model baharu, pada tarikh 14hb. Mac 2021 (Ahad). Pelancaran model tersebut boleh disaksikan secara langsung melalui saluran YouTube MForce TV dan juga melalui laman Facebook rasmi WMoto Malaysia, bermula jam 8.00 malam.
Setakat ini berdasarkan beberapa maklumat yang boleh dipercayai, model baharu yang akan dilancarkan oleh WMoto ialah sebuah model skuter maxi dengan enjin bersesaran 250cc dan tampil dengan reka bentuk yang cukup menarik dan sporty. Model tersebut dijangka bakal memberikan saingan sengit kepada model Modenas Elegan 250 ABS.
Modenas Elegan 250 ABS 2020 dilancarkan di pasaran Malaysia pada bulan November yang lepas, dengan harga asas mampu milik sebanyak RM 15,315.00 sahaja. Ianya dilengkapi enjin bersesaran 250cc, tangki bahan api 12.5 liter, sistem brek ABS, ruang simpanan barang-barang di bawah tempat duduk yang luas dan port pengecas USB.
Jika benar WMoto Malaysia akan melancarkan sebuah model skuter maxi baharu, tentu ianya memberikan lebih pilihan kepada peminat skuter di pasaran Malaysia. Apa yang penting selain daripada reka bentuk yang sporty dan menawan ialah harga dan ciri-ciri praktikal yang ditawarkan. Sama-sama kita nantikan pelancaran model baharu tersebut.