Suzuki rasmi memperkenalkan jentera MotoGP Suzuki GSX-RR 2021, bakal mempertahankan kejuaraan

Bertempat di Litar Antarabangsa Losail di Doha, Qatar kelmarin, Team Suzuki Ecstar secara rasminya memperkenalkan jentera baharu Suzuki GSX-RR 2021 yang bakal digunakan dalam perlumbaan MotoGP musim ini. Untuk musim 2021, pasukan tersebut masih menggunakan khidmat dua pelumba handalan Joan Mir dan Alex Rins.

Suzuki GSX-RR 2021 kekal dengan livery seperti mana jentera yang digunakan pada musim sebelumnya, namun kali ini terdapat tambahan logo Monster Energy yang kini menjadi penaja baharu Team Suzuki Ecstar. Juara MotoGP 2020, Joan Mir dan rakan sepasukan Alex Rins, masing-masing kekal dengan jentera bernombor 36 dan 42.

Bagi musim perlumbaan MotoGP 2021, Team Suzuki Ecstar pasti seboleh-bolehnya mahu mengekalkan kejuaraan yang diraih pada tahun lepas. Dalam sesi ujian di hari pertama di Litar Losail kelmarin, Joan Mir berjaya berada di kedudukan ketiga dan Alex Rins di kedudukan yang kelapan. Pencapaian awal yang boleh dikatakan agak baik.