Aksi Mat Rempit di mana-mana negara terutamanya di negara kita sendiri Malaysia, di negara jiran Thailand, Indonesia dan juga Filipina, seringkali mendatangkan masalah kepada pihak berkuasa. Malah kini sudah menjadi trend Mat Rempit untuk memecut laju di atas jalan raya dan merakam video meter kelajuan motosikal masing-masing.
Di negara Vietnam baru-baru ini pada 10 Mac 2021, sebuah motosikal berkuasa tinggi Honda CBR1000RR-R Fireblade telah dikesan ditunggang pada kelajuan 299 km/j, dan meter kelajuannya telah dirakam sendiri oleh penunggang motosikal tersebut. Akhirnya beliau telah berjaya dikesan oleh pihak berkuasa dan dikenakan denda 10.5 juta VND.
Apabila rakaman tersebut tersebar di media sosial, sudah tentu pihak berkuasa akan menjalankan siasatan dan perlu mengambil tindakan segera. Ini kerana perlakuan yang melanggar undang-undang itu kebiasaannya akan menjadi ikutan oleh orang lain pula. Dan memang benar ianya juga telah menjadi ikutan penunggang motosikal yang lain.
Menurut sumber dari Vietnam, pada tarikh 16hb. Mac 2021, sekumpulan penunggang motosikal Yamaha Exciter 155 VVA telah berlumba sesama sendiri di sebatang jalan raya di Hanoi, pada waktu awal pagi dengan kelajuan yang tinggi, dan kemudiannya memuat naik video perlumbaan tersebut ke laman YouTube pada hari yang sama.
Perlakuan kumpulan Yamaha Exciter 155 VVA yang berlumba pada kelajuan sehingga mencecah 150 km/j itu telah dikatakan menimbulkan kemarahan di kalangan komuniti, kerana ianya telah melanggar undang-undang jalan raya, telah membahayakan nyawa mereka sendiri, dan juga boleh membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.
Di negara kita sendiri, masalah lumba haram telah lama berlaku. Apatah lagi apabila kebanyakan model-model motosikal masa kini hadir dengan enjin yang lebih berkuasa dan mempunyai kelajuan maksimum yang tinggi. Tidak salah memecut, namun pada masa yang sama kita semua perlu mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.
Sumber : Hanoimoi.com.vn