Modenas Elegan 250 ABS 2020 terbaharu dilancarkan, harga asas RM 15,315.00

Modenas hari ini dengan rasminya melancarkan model terbaharu Modenas Elegan 250 ABS 2020, bagi menggantikan model terdahulu Modenas Elegan 250. Majlis pelancaran hanya dilakukan secara maya melalui laman Facebook rasmi Modenas, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih berkuatkuasa.

Antara ciri-ciri baharu yang diperkenalkan melalui model Modenas Elegan 250 ABS 2020 ini ialah tuil brek yang kini didatangkan dengan empat tahap pelarasan, bersama-sama sistem brek cakera di bahagian roda depan dan belakang yang masing-masing bersaiz 260 mm dan 240 mm. Lebih menarik lagi ialah sistem brek tersebut didatangkan dengan teknologi Bosch ABS dua saluran yang pastinya lebih cekap dan selamat.

Seterusnya Modenas Elegan 250 ABS didatangkan dalam dua pilihan warna baharu yang menarik iaitu Satin Matte Red dan Satin Matte Black yang menggantikan warna terdahulu putih dan hitam. Rekaannya juga menampilkan lampu projektor berkembar di bahagian depan, lengkap dengan lampu LED Daytime Running Light (DRL).

Juga terdapat pelindung cermin hadapan (windshield) yang pastinya memberikan lebih perlindungan ketika menunggang di lebuh raya atau pada kelajuan tinggi, seterusnya menjadikan tunggangan lebih selesa. Menambahkan lagi keselesaan tunggangannya ialah kehadiran tempat duduk yang lebar untuk penunggang dan juga penumpang.

Tidak dilupakan ialah port pengecas USB yang boleh dikatakan menjadi ciri wajib untuk motosikal dan skuter masa kini, membolehkan penunggang dan juga penumpang untuk mengecas telefon bimbit masing-masing. Di bahagian belakang pula, Modenas Elegan 250 ABS didatangkan lampu belakang LED dengan gaya rekaan X yang sporty.

Ciri-ciri seterusnya yang melengkapi Modenas Elegan 250 ABS terbaharu ini antaranya seperti ruang barangan yang luas di bawah tempat duduk yang boleh memuatkan sehingga dua buah topi keledar, tempat duduk dengan kemudahan ‘strut damper gas’ dan adanya lampu LED yang praktikal untuk kegunaan pada waktu gelap atau malam.

Beralih ke bahagian penjana kuasa, Modenas Elegan 250 ABS ini dilengkapi enjin berkapasiti 250cc satu silinder yang dipadankan dengan sistem transmisi automatik CVT. Kuasa yang dihasilkan mencapai 22.5PS dengan tork 22.4Nm. Enjin tersebut juga telah menerima penarafan EEV sebagai kenderaan yang cekap tenaga, bermakna ianya mampu menjimatkan petrol daripada tangkinya yang berkapasiti 12.5 liter.

Sistem suspensi merupakan jenis teleskopik di bahagian depan, manakala di bahagian belakang ialah penyerap hentak berkembar yang disambungkan dengan trailing swing arm yang menyokong tunggangan yang lebih selesa. Panel meter pula terdiri daripada dua meter dial yang besar di kiri dan kanan, dan ditengahnya ialah paparan digital yang memaparkan pelbagai maklumat penting seperti suhu cecair penyejuk dan juga jam.

Lebih memudahkan pemiliknya ialah skuter tersebut turut didatangkan dengan fungsi pemberitahuan masa penukaran minyak enjin. Akhir sekali, Modenas Elegan 250 ABS 2020 ini didatangkan dengan tanda harga asas yang mampu milik iaitu RM 15, 315.00, dengan jaminan pengeluar selama tempoh 2 tahun atau 20,000 km jarak perjalanan.

(Visited 1,446 times, 2 visits today)