KTM 1290 Super Adventure R 2021 diperkenalkan, bersedia untuk aksi kembara tanpa batasan

KTM baru-baru ini rasmi memperkenalkan model kembara terbaharu KTM 1290 Super Adventure R 2021, yang dikatakan mampu merentas laluan paling sukar dan paling mencabar. Model ini merupakan versi yang lebih ekstrem berbanding model KTM 1290 Super Adventure S 2021 yang diperkenalkan pada bulan Januari 2021 yang lepas.

Menurut pengeluarnya, KTM 1290 Super Adventure R kini hadir dengan rekaan badan serba baharu yang menawarkan tahap ergonomik cemerlang dan membolehkan bahan api di dalam tangki dibawa pada kedudukan paling rendah. Hasilnya ialah pusat graviti yang lebih rendah, jentera yang lebih tangkas dan rasa tunggangan yang lebih baik.

Perubahan yang dilakukan turut melibatkan kepala stereng yang dianjak ke belakang sehingga 15 mm, menempatkan semula bahagian depan enjin dan memperkenalkan lengan ayun (diecast open-lattice swingarm) yang sedikit lebih panjang. Semua itu telah menyumbang kepada pengambilan selekoh yang lebih tajam dan lebih sensasi.

Sama seperti casis, bahagian subframe juga telah dikemaskini semula dan dilengkapi tempat duduk sporty dengan ketinggian hanya 880 mm dengan dimensi yang tipis dan ruang storan berguna di bawahnya. Sensasi kawalan dan keseimbangan ditambah oleh tangki bahan api 23 liter dengan tiga bahagian baharu pada posisi yang lebih rendah.

Peningkatan pengendalian seterusnya disempurnakan oleh fork depan WP XPLOR 48 mm yang diperbaharui, dengan ciri boleh dilaraskan sepenuhnya dan turut menawarkan travel sehingga 220 mm. Sistem suspensi WP PDS di bahagian belakang juga hadir dalam konfigurasi boleh laras sepenuhnya, yang menjamin tahap keselesaan tertinggi.

Pelbagai teknologi terkini dan canggih turut melengkapi KTM 1290 Super Adventure R, antaranya sistem 6-axis lean angle sensor, Motorcycle Traction Control, Motor Slip Regulation, Motorcycle Stability Control, Offroad ABS, mod tunggangan Rain, Street, Sport dan Offroad, serta panel instrumen 7 inci TFT baharu dengan ciri kesambungan.

Sistem penjana kuasa LC8 KTM 1290 Super Adventure R kini patuh piawaian Euro 5 dan 1.6 kg lebih ringan, dengan hamburan kuasa maksimum 160hp @ 9,000rpm dan tork puncak 138Nm @ 6,500rpm. Sistem aliran udara juga kini menjadi lebih baik hasil daripada penggunaan dua radiator, di samping saluran udara yang telah direka semula.

Melalui rekaan semula kotak udara, penapis udara kini mudah dicapai dengan hanya membuka empat skru sahaja. KTM 1290 Super Adventure R dilengkapi tayar kembara premium Bridgestone yang spesifik dan juga rim roda berjejari daripada ALPINA. Model tersebut juga dilengkapi lampu depan LED baharu dengan lampu DRL yang juga LED.

Untuk pakej sistem perisian pilihan, Rally Pack menawarkan mod tunggangan Rally, MTC slip adjuster dan respon pendikit yang boleh dilaraskan, manakala pakej semua di dalam satu Tech Pack menawarkan Quickshifter+, Motor Slip Regulation, Hill Hold Control, lampu brek adaptif dan kesemua ciri-ciri yang ada di dalam pakej Rally Pack.