Yamaha Axis Z 2021 kini mula ditawarkan di pasaran Jepun, bermula pada tarikh 05hb. Februari baru-baru ini. Model skuter terbaharu untuk musim 2021 itu kini didatangkan pilihan warna terbaharu Matte Green, di samping masih mengekalkan empat pilihan warna terdahulu seperti Black, Matte Dark Gray, Purple dan White.
Antara kelebihan utama model skuter Yamaha Axis Z ini ialah kapasiti ruang simpanan barang-barang di bawah tempat duduknya seluas 37.5 liter, yang boleh memuatkan dua buah topi keledar. Ini bermakna jika anda menggunakannya untuk mengisi sebuah topi keledar, masih terdapat lagi ruang untuk diisi dengan barangan peribadi yang lain.
Yamaha Axis Z menggunakan enjin Blue Core bersesaran 124cc (single-cylinder, air-cooled, 4-stroke, SOHC, 2-valve) dengan gandingan transmisi automatik CVT, dan menghasilkan kuasa maksimum 8.2PS @ 6,500rpm dengan tork maksimum 9.7Nm @ 5,000rpm. Tangki bahan apinya pula mempunyai kapasiti penuh sehingga 5.5 liter.
Menurut Yamaha, Axis Z menawarkan tahap penggunaan bahan api yang sangat cekap iaitu pada tahap 54.6 km/liter (WMTC mode). Dengan ketinggian tempat duduk 770 mm dan berat hanya 100 kg menjadikannya mudah ditunggang dan selesa. Berkenaan harga, ianya ditetapkan sebanyak 247,500 Yen, bersamaan nilai RM 9,560.61.