Nooma ADV500 2021 mirip jentera pengembaraan Ducati Multistrada

Nooma ADV500 2021 ini merupakan salah sebuah model terbaharu yang diperkenalkan di pasaran China, dan tampil dengan gaya rekaan mirip jentera pengembaraan terkenal Ducati Multistrada. Dengan menggunakan kata nama ADV, bermakna ianya dikeluarkan khusus untuk segmen adventure yang semakin popular sejak kebelakangan ini.

Nooma ADV500 menggunakan enjin bersesaran 500cc (twin-cylinder, water-cooled) dengan transmisi enam kelajuan. Setakat ini tiada maklumat mengenai jumlah keluaran kuasa dan tork daripada enjin itu, namun dipercayai ianya menawarkan prestasi yang memuaskan agar seimbang dengan beratnya yang mencapai 175 kg (gross weight).

Spesifikasi lain yang melengkapinya termasuklah tangki bahan api 15 liter, fork depan jenis terbalik, suspensi belakang monoshock dengan ciri boleh laras, brek cakera depan berkembar dengan ABS, brek cakera belakang tunggal juga dengan ABS, dan tayar depan dan belakang masing-masing dalam ukuran 120/60-R17 dan 160/60-R17.

Nooma ADV500 2021 ini turut didatangkan dengan ciri-ciri seperti panel meter digital, sistem lampu LED, ketinggian tempat duduk 790 mm dan jarak kelegaan bumi 155 mm. Sama seperti kebanyakan model-model motosikal keluaran China yang lain, ianya juga dikeluarkan khusus untuk pasaran di luar negara yang bersedia untuk menjualnya.