Replika Yamaha YZF-R1 2021 muncul dari pasaran China

Ini merupakan model terbaharu buatan pengeluar motosikal dari China, yang kini mula ditawarkan untuk pasaran tahun 2021. Nama sebenar model ini bergantung kepada syarikat mana yang akan mengedarkannya, termasuk beberapa pilihan kapasiti enjin seperti 196cc, 223cc, 367cc dan 400cc, yang kesemuanya dikatakan bertaraf Euro 4.

Model ini boleh dikatakan replika kepada model terkenal Yamaha YZF-R1, dengan rekaan yang hampir sama namun tidak mencapai tahap klon 100 peratus. Namun bagi pengguna motosikal biasa atau mereka yang kurang mahir, kebarangkalian untuk menyangkakan bahawa ini adalah model Yamaha YZF-R1 yang asli adalah tinggi.

Berdasarkan maklumat yang diberikan, bagi model dengan enjin 196cc (single-cylinder, air-cooled), kuasa yang dihasilkan mencapai 13.2hp @ 7,000rpm dengan tork puncak 15.5Nm @ 5,000rpm. Kelajuan maksimumnya dikatakan 105 km/j. Bagi model 223cc (single-cylinder, air-cooled) pula, kuasa maksimum dan tork yang dihasilkan ialah 16hp @ 7,500rpm dan 18Nm @ 5,500rpm. Kelajuan maksimumnya dikatakan 125 km/j.

Kemudiannya model 367cc (double-cylinder, liquid-cooled, 6-speed) menghasilkan kuasa maksimum 34hp @ 7,600rpm dengan tork 33Nm @ 5,500rpm, dengan kelajuan maksimum 160 km/j. Model 400cc (double-cylinder, liquid-cooled, 6-speed) mempunyai kuasa maksimum 30hp @ 7,000rpm dengan tork 33.5Nm @ 4,000rpm, dan kelajuan maksimumnya dikatakan mencapai angka di antara 180 km/j sehingga 199 km/j.

Kesemua model dilengkapi sistem ignition CDI, sistem penghidup elektrik dan tendang, tangki bahan api 17.5 liter, sistem brek depan berkembar, tayar depan dan belakang dalam siri 110/70-R17 dan 150/70-R17, dan berat keseluruhan 165 kg. Model replika Yamaha YZF-R1 2021 buatan China ini kini bersedia untuk pasaran ke seluruh dunia.