Sejak awal Januari 2021 yang lepas, model terbaharu Yamaha Exciter 155 VVA 2021 secara rasmi memulakan jualannya di pasaran Vietnam. Pada masa yang sama, model terdahulu Yamaha Exciter 150 masih lagi ditawarkan seperti biasa, dengan tanda harga yang ditetapkan oleh Yamaha untuk kedua-dua model tersebut tidak jauh berbeza.
Ketika ini, harga jualan runcit yang ditetapkan oleh Yamaha Motor Vietnam untuk model Yamaha Exciter 150 masih kekal sama seperti sebelumnya, iaitu bermula serendah dari 46,990,000 VND sehingga 48,990,000 VND. Bagi model Yamaha Exciter 155 VVA pula, harga jualan runcitnya bermula dari 46,990,000 VND sehingga 50,490,000 VND.
Oleh itu ramai peminat Yamaha Exciter 150 di pasaran Vietnam ketika ini merasakan bahawa model tersebut akan dihentikan pengeluarannya tidak lama lagi, bagi memberi laluan sepenuhnya kepada model Yamaha Exciter 155 VVA. Namun setakat ini pihak Yamaha Motor Vietnam sendiri masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.
Dengan harga yang hampir sama, sudah tentu ramai peminat dan pembeli yang akan memilih model Yamaha Exciter 155 VVA, berbanding membeli model Yamaha Exciter 150. Sepatutnya jika Yamaha Motor Vietnam mahu meneruskan jualan Yamaha Exciter 150, mereka perlu meletakkan harga yang lebih tinggi untuk Yamaha Exciter 155 VVA.
Walaupun tidak menjadi masalah untuk Yamaha Motor Vietnam menghentikan jualan Yamaha Exciter 150, namun masih terdapat ramai peminat model tersebut di pasaran Vietnam pada ketika ini. Menurut sumber, peminat-peminat model Yamaha Exciter 150 merasa bimbang sekiranya desas-desus tersebut menjadi kenyataan tidak lama lagi.
Bagi mereka, Yamaha Exciter 150 tetap mempunyai ciri-ciri dan kelebihan tersendiri jika dibandingkan dengan model Yamaha Exciter 155 VVA. Tambahan pula ianya masih lagi merupakan model yang menarik, dan usianya di pasaran juga masih lagi baru. Oleh itu mereka mengharapkan penjualan model tersebut akan diteruskan lagi buat masa ini.
Untuk pasaran Malaysia pula, setakat ini menurut laporan yang diterima, jualan Yamaha Y15ZR V2 akan diteruskan seperti biasa selepas pelancaran Yamaha Y15ZR V3. Ini kerana harga yang akan ditetapkan untuk Yamaha Y15ZR V3 adalah lebih tinggi, oleh itu ianya tidak akan mengganggu pasaran sedia ada untuk model Yamaha Y15ZR V2.