Dayang ADV150 2021 di pasaran China, adakah akan dibawa masuk ke pasaran Malaysia?

Pasaran motosikal di negara China sememangnya sangat besar. Malah terdapat begitu banyak syarikat pengeluar motosikal tempatan, termasuk yang menjalinkan kerjasama dengan syarikat-syarikat terkenal dari luar negara. Malah ketika ini pasaran motosikal China telah merentasi pelbagai benua di seluruh dunia, termasuk di pasaran Eropah.

Secara umumnya, motosikal keluaran China dianggap tidak berkualiti dan suka meniru reka bentuk model-model motosikal terkenal yang lain. Namun sekarang kebanyakan daripada mereka telah membangunkan model-model motosikal sendiri, malah ada yang lebih moden dan canggih. Sebagai contoh ialah model skuter Dayang ADV150 ini.

Jika ada yang mengatakan Dayang ADV150 adalah klon kepada model popular Honda ADV150, pendapat itu ada kebenarannya. Namun ianya mungkin kurang tepat, kerana Dayang ADV150 sebenarnya mengambil ilham daripada model Honda ADV150. Oleh sebab itu ianya tampil dengan gaya rekaan dan rangkaian teknologi yang tersendiri.

Melihat kepada spesifikasinya, Dayang ADV150 dilengkapi enjin yang lebih berkuasa berbanding model Honda ADV150, malah teknologi dan ciri-ciri yang ditawarkan juga adalah lebih moden dan canggih. Pelbagai kemudahan yang lebih baik turut disediakan termasuk tangki bahan api yang lebih besar dan sistem kamera depan dan belakang.

Buat masa ini, Dayang ADV150 hanya khusus untuk pasaran China, dan ianya akan dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi. Harga yang bakal ditawarkan juga dijangka akan berada dalam lingkungan mampu milik. Persoalannya ialah adakah model skuter Dayang ADV150 ini akan turut dilancarkan di pasaran luar negara termasuk Malaysia?

Sebenarnya tidak menjadi masalah untuk pengeluar motosikal tempatan membawa masuk Dayang ADV150 ini ke pasaran Malaysia. Contohnya Modenas sendiri ketika ini menawarkan model Modenas Kriss terbaharu yang asalnya merupakan model kapcai buatan China, begitu juga dengan syarikat Ottimo Motor dan Aveta Global Marketing.

Mungkin sudah tiba masanya syarikat-syarikat dan pengedar motosikal tempatan di negara kita membawa masuk hanya model-model motosikal dan skuter yang berkualiti sahaja dari negara China. Pastikan juga model-model tersebut mempunyai gaya rekaan yang menarik, dilengkapi enjin yang berkuasa dan teknologi yang moden dan canggih.

Contoh terbaik ketika ini ialah model skuter Dayang ADV150 ini, yang secara kebetulan mempunyai ciri-ciri yang boleh dikatakan serba lengkap. Kemampuannya di jalan raya biasa dan off road juga telah terbukti, sangat sesuai dengan persekitaran semasa. Jika harga yang ditawarkan berpatutan, pasti ianya akan mendapat sambutan dan laris.

Sumber gambar : Newmotor.com.cn