Harga Yamaha Exciter 155 VVA 2021 di pasaran Vietnam kini meningkat, apakah petandanya?

Yamaha Exciter 155 VVA 2021 di pasaran Vietnam pada ketika ini tidak dinafikan telah muncul sebagai model moped paling popular sejak ianya dilancarkan. Bukan sahaja kerana ianya tampil dengan reka bentuk yang lebih moden dan sporty berbanding model Exciter 150, malah kerana spesifikasi teknikalnya yang telah dipertingkatkan.

Bagaimanapun satu-satunya kekurangan Yamaha Exciter 155 VVA ialah model tersebut masih belum dilengkapi sistem brek ABS, seterusnya memberikan kelebihan kepada pesaing terdekatnya Honda Winner X. Namun begitu faktor tersebut dirasakan tidak lagi relevan, berdasarkan pemerhatian terkini terhadap harga jualan oleh pihak pengedar.

Menurut sumber dari Vietnam, populariti dan permintaan yang tinggi terhadap Yamaha Exciter 155 VVA dalam bulan Januari 2021 ini telah menyebabkan berlakunya kenaikan harga untuk model berkenaan. Harga tersebut bukanlah dinaikkan oleh Yamaha Motor Vietnam, tetapi ditetapkan sendiri oleh pihak pengedar atau kedai motosikal di sana.

Situasinya adalah sama seperti di pasaran Malaysia, apabila model Yamaha Y15ZR V2 mendapat permintaan yang tinggi dan sentiasa menjadi buruan ramai peminat, maka pihak pengedar telah menaikkan harganya kepada paras yang lebih tinggi berbanding harga runcit yang disyorkan oleh pihak Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM).

Oleh itu tidaklah menghairankan jika harga jualan Yamaha Exciter 155 VVA di pasaran Vietnam pada ketika ini telah menerima nasib yang sama, salah satu sebabnya ialah kerana kadar permintaan yang telah melebihi penawaran. Stok untuk model tersebut pada ketika ini dipercayai masih lagi terhad, sedangkan tempahan kian meningkat.

Situasi kenaikan harga untuk model Yamaha Exciter 155 VVA 2021 di pasaran Vietnam pada masa yang sama telah memberikan petanda awal kepada peminat model tersebut di pasaran Malaysia, apabila moped berkenaan yang mungkin akan dikenali dengan nama Yamaha Y15ZR V3 2021 atau Yamaha Y155ZR VVA 2021 dilancarkan nanti.

Petandanya seperti mana yang diramalkan sebelum ini ialah harga jualan sebenar yang akan ditetapkan oleh pihak pengedar atau kedai motosikal di pasaran Malaysia nanti ialah akan meningkat lebih tinggi, berbanding harga runcit yang disyorkan oleh HLYM. Berapakah perbezaannya, bergantung kepada kadar permintaan yang pastinya tinggi.

Untuk bulan Januari 2021, harga Yamaha Exciter 155 VVA untuk varian Standard kini telah meningkat kepada 49,000,000 VND (bersamaan RM 8,596.25), berbanding harga runcit yang disyorkan iaitu 46,990,000. Harga bagi varian Premium pula ialah sebanyak 55,000,000 VND (bersamaan RM 9,648.85), berbanding harga asal 49,990,000 VND.

Bagi varian Premium teratas iaitu versi GP Edition, harga jualan runcitnya ditetapkan sebanyak 50,490,000 VND, kini telah meningkat kepada 57,000,000 VND (bersamaan RM 9,999.72). Kesemua peningkatan tersebut dirasakan tidaklah terlalu tinggi, namun untuk pasaran Malaysia nanti, berapakah agaknya jumlah peningkatan sebenar?

Sumber rujukan : Thethao247.vn

Sumber gambar : DONG NGHI Racingteam FB via Motosaigon.vn

Artikel Popular Minggu Ini :