Suzuki GSX-R150 2021 di pasaran Indonesia kini didatangkan dengan empat pilihan warna baharu

Pasaran Malaysia buat masa ini masih ternanti-nantikan ketibaan barisan model baharu keluaran Suzuki bagi segmen di bawah 250cc. Namun setakat ini belum ada kepastian bilakah penantian itu akan berakhir secara rasmi, walaupun Suzuki Malaysia sebelum ini rancak menyiarkan teaser demi teaser untuk model-model yang bakal dilancarkan.

Sementara itu di pasaran negara jiran Indonesia, model sport bike Suzuki GSX-R150 bagi model tahun 2021 kini telah menerima kemaskini empat pilihan warna terbaharu yang lebih menarik dan sporty, iaitu Stronger Red-Titan Black, Titan Black/MB. Daytona Yellow, Titan Black dan Solarize Silver-Met. Tritone Blue (MotoGP Limited Edition).

Bagi model berwarna merah yang dilengkapi sistem kunci Shuttered Key, harga yang ditawarkan Rp. 30,600,000 (bersamaan RM 8,769.91), manakala bagi model berwarna kuning dan hitam dengan kelengkapan Keyless Ignition System, harga jualannya ialah Rp. 31,600,000 (bersamaan RM 9,056.51). Bagi model MotoGP Limited Edition dengan ciri Keyless Ignition System dan ABS, harganya ialah Rp. 34,600,000 (RM 9,916.30).

Dari segi spesifikasi, tiada perbezaan dan ianya masih kekal sama seperti sebelumnya. Suzuki GSX-R150 2021 dilengkapi enjin berprestasi tinggi berkapasiti 147.3cc dengan teknologi fuel injection dan sistem DOHC (Double Over Head Camshaft), menghasilkan kuasa maksimum 18.9hp @ 10,500rpm dengan tork maksimum 14Nm @ 9,000rpm. Janaan kuasa yang terhasil disalurkan ke jalan raya melalui transmisi enam kelajuan.

Seiring dengan perkembangan zaman, Suzuki GSX-R150 turut dilengkapi pelbagai ciri-ciri moden yang sarat dengan teknologi tinggi, antaranya ialah seperti Digital Instrument Cluster, Keyless Easy Start System dan LED Headlight. Bagaimanapun untuk pasaran Malaysia, sayang sekali masih belum ada perkembangan mengenai model sporty ini.