Yamaha YZF 155 2020 dilancarkan di pasaran Singapura

Yamaha YZF-R15 generasi terbaharu atau lebih dikenali dengan Version 3.0 secara rasminya diperkenalkan pada tahun 2017. Untuk pasaran Singapura, ianya dilancarkan pada penghujung tahun 2017 dan sehingga kini masih lagi ditawarkan seperti biasa.

Bagaimanapun pada bulan Oktober yang lalu, Yamaha YZF-R15 bagi model tahun 2020 terbaharu di pasaran Singapura secara tiba-tiba dilancarkan dengan nama baharu yang sama sekali berbeza. Ianya kini telah diberikan nama baharu iaitu Yamaha YZF 155.

Tidak dapat dipastikan kenapa nama asal Yamaha YZF-R15 telah ditukarkan kepada nama baharu Yamaha YZF 155, sedangkan reka bentuk dan spesifikasi model tersebut masih sama. Malah grafik R15 pada sisi fairing juga masih kekal seperti sebelumnya.

Yamaha YZF 155 2020 untuk pasaran Singapura boleh didapati dengan dua pilihan warna iaitu Racing Blue dan Racing Black, sama seperti model Yamaha YZF-R15 2020 yang dilancarkan di pasaran Malaysia pada pertengahan Oktober 2020 yang lalu.

Spesifikasi teknikal dan ciri-ciri yang ditawarkan untuk Yamaha YZF 155 antaranya termasuklah enjin 155cc dengan teknologi VVA, sistem Assist & Slipper Clutch, lampu depan berkembar LED, lampu belakang LED, fork depan terbalik dan meter digital.

Sistem brek bagaimanapun masih terdapat kekurangan apabila ianya belum dilengkapi dengan sistem Dual Channel ABS seperti mana model Yamaha YZF-R15 di pasaran India. Akhir sekali, apa pendapat anda mengenai nama baharu Yamaha YZF 155 ini?