Honda Dream 125 2021 dilancarkan di pasaran Kemboja, kini dengan jalur grafik baharu yang kekal mewah

Honda Dream 125 di pasaran Kemboja (Cambodia) boleh dikatakan unik dan berada di dalam kelasnya yang tersendiri. Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi model tersebut adalah seperti enjin bersesaran 125cc, jalur grafik dan emblem yang melambangkan kemewahan dan rekaan lampu depan dan belakangnya yang sporty dan lebih praktikal.

Baru-baru ini Honda Dream 125 2021 terbaharu telah dilancarkan di pasaran Kemboja, dengan tiga pilihan warna menarik iaitu Gorgeous Red, Precious White dan Eternity Black. Ketiga-tiga pilihan warna tersebut mungkin kelihatan sama dengan model Dream 125 2020, namun ianya kini didatangkan dengan kemaskini jalur grafik yang baharu.

Jalur grafik baharu tersebut masih lagi mengekalkan elemen kemewahan dan elegan dengan menggabungkan warna emas dan platinum, dua jenis material yang diketahui sangat berharga. Emblem Honda Dream berwarna emas yang turut dipadankan pada bahagian depannya menambahkan lagi gaya kemewahan untuk model berkenaan.

Honda Dream 125 2021 dikuasakan enjin empat lejang bersesaran 124.85cc dengan kotak gearnya dipercayai masih empat kelajuan. Jumlah kuasa dan tork yang dihasilkan oleh enjin tersebut tidak pula didedahkan. Menurut Honda, enjin tersebut sangat cekap penggunaan bahan api, serta selang penukaran minyak enjinnya mencapai 6,000 km.

Honda Dream 125 2021 di pasaran Kemboja ini boleh dikatakan mempunyai ramuan yang mencukupi seandainya pihak Boon Siew Honda di Malaysia mahu mengembalikan semula kegemilangan model Honda EX5. Mungkin dengan beberapa perubahan yang lebih moden dan harga yang berpatutan, tidak mustahil model ini akan laris di pasaran.