Honda CB500X 2020 dilancarkan di pasaran Malaysia, harga asas kekal RM 36,099.00

Honda pada bulan September 2020 yang lepas secara rasminya memperkenalkan trio model 500cc terbaharu keluarannya untuk pasaran Eropah. Ketiga-tiga model tersebut ialah Honda CBR500R 2021, Honda CB500X 2021 dan Honda CB500F 2021.

Hari ini untuk pasaran Malaysia pula, Boon Siew Honda (BSH) telah memperkenalkan model Honda CB500X 2020 terbaharu, pada harga kekal seperti Honda CB500X 2019 iaitu sebanyak RM 36,099.00, tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan.

Honda CB500X 2020 untuk pasaran Malaysia adalah sama dengan model Honda CB500X 2021 untuk pasaran Eropah, namun tidak dapat dipastikan kenapa BSH tidak terus menggunakan nama Honda CB500X 2021 agar pelanggannya tidak keliru.

Juga agak menghairankan ialah kenapa BSH tidak turut melancarkan dua lagi model iaitu Honda CBR500R dan CB500F terbaharu bersama-sama CB500X, sedangkan kedua-dua model tersebut sememangnya turut ditawarkan di pasaran tempatan.

Honda CB500X 2020 untuk pasaran Malaysia ditawarkan dalam tiga pilihan warna yang menarik seperti Mat Gunpowder Black Metallic, Grand Prix Red dan Pearl Metalloid White. Berbanding model tahun 2019, CB500X 2020 kini didatangkan subframe yang berwarna merah, sebagai penghormatan untuk model Honda CRF1100L Africa Twin.

Spsifikasi teknikal tiada perubahan, namun enjin CB500X 2020 telah patuh piawaian emisi Euro 5. Oleh itu kuasa yang dihasilkan kini sedikit rendah pada paras 47hp (35kW) @ 8,600rpm dengan tork 43Nm @ 6,500rpm, berbanding model 2019 yang menghasilkan kuasa maksimum 49.6hp @ 8,500rpm dengan tork 45Nm @ 6,500rpm.

BSH menawarkan jaminan selama tempoh 2 tahun atau jarak perbatuan 20,000 km untuk Honda CB500X 2020. Untuk anda yang berminat, jentera kembara itu kini boleh ditempah di mana-mana cawangan pengedar Honda BigBike yang berdekatan.