Beberapa tahun yang lepas, jenama pengeluar motosikal GPX dari Thailand masih belum dikenali sepenuhnya. Namun syarikat tersebut yang bermula sejak tahun 2007, kemudiannya menempuh era baru pada tahun 2015 dengan pelancaran beberapa buah model baharu yang berjaya menarik minat ramai seperti GPX Demon dan GPX Legend.
Mungkin suatu ketika dahulu kebanyakan model-model yang dikeluarkan oleh GPX berasal dari negara China, namun dengan melihat kepada kualiti barisan model yang ditawarkan oleh GPX pada ketika ini, seolah-olah syarikat tersebut ketika ini sudah mampu mengeluarkan model sendiri berdasarkan pengalaman dalam tempoh singkat.
Terkini GPX telah menjalinkan kerjasama dengan syarikat SYM dari Taiwan, dalam menghasilkan produk skuter pertama dikenali dengan nama GPX Drone. Pada masa yang sama pelancaran model-model terbaharu seperti GPX Mad 300MAX, GPX Demon GR200R, GPX Legend 250 Twin II dan GPX Legend 150 Fi ternyata mengejutkan.
Siapa sangka sebuah syarikat pengeluar motosikal dari Thailand seperti GPX ketika ini sudah mengeksport model-model motosikal keluarannya ke tujuh buah negara seperti Malaysia, Vietnam, Hong Kong dan juga Jepun. Malah boleh dikatakan kejayaan GPX jika dibandingkan dengan Modenas, perbezaannya kini boleh dikatakan terlalu jauh.
Tidak mustahil jika GPX meneruskan momentum dengan mengeluarkan model-model terbaharu yang memenuhi citarasa pengguna, suatu hari nanti jenama GPX akan berdiri sebaris dengan jenama-jenama lain yang telah lama dikenali. Inovasi, keberanian dan keyakinan yang ditunjukkan oleh GPX selama ini boleh dikatakan sangat luar biasa.
Untuk melihat setakat manakah kemajuan GPX pada ketika ini, mungkin anda boleh mentafsirkannya sendiri setelah melihat gambar-gambar dalam galeri di bawah, yang menunjukkan pelbagai model keluaran syarikat itu yang ketika ini dipamerkan di tapak pameran mereka di Thailand International Motor Expo 2020 (2 – 13 Disember 2020).






















