Model skuter baharu GPX Drone rasmi dilancarkan di pasaran Thailand, dihasilkan dengan kerjasama SYM Taiwan

GPX Thailand hari ini mengorak langkah bergaya dengan melancarkan model skuter pertama GPX Drone yang dihasilkan dengan kerjasama syarikat terkenal SYM Taiwan. Nama yang diberikan mungkin kedengaran agak janggal, namun GPX Drone tampil dengan reka bentuk yang sporty, menawan dan spesifikasi yang cukup menarik.

Enjinnya bersesaran 149.6cc, merupakan enjin empat lejang satu silinder dengan dua injap dan sistem penyejukan cecair, dan turut dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api elektronik. Enjin tersebut kemudiannya dipadankan dengan transmisi automatik CVT. Jumlah kuasa dan tork yang dihasilkan bagaimanapun tidak didedahkan.

Beralih ke bahagian suspensinya, fork depan merupakan jenis teleskopik, diikuti oleh suspensi belakang berkembar dengan ciri boleh laras (double spring preload 3 levels). Untuk kawalan keselamatan terbaik, brek cakera depannya berdiameter 260 mm yang digandingkan dengan brek cakera belakang 220 mm, lengkap dengan sistem CBS.

GPX Drone dilengkapi rim roda aloi aluminium berukuran 14 inci di bahagian depan dan belakang, masing-masing dipasangkan tayar tanpa tiub (tubeless) bersaiz 100 / 90-R14 dan 110 / 80-R14. Untuk perjalanan yang lebih jauh, ianya dibekalkan tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 7.5 liter. Beratnya berada pada paras 150 kg (net weight).

Apa yang menjadikan GPX Drone ini lebih istimewa ialah ciri-ciri yang melengkapinya, antaranya termasuklah sistem Smart Key, sistem lampu LED sepenuhnya, panel meter digital LCD sepenuhnya, skrin penghadang angin (wind shield), tempat duduk dengan rekaan premium, ruang di bawah tempat duduk seluas 18 liter dan pengecas USB.

Selain itu GPX Drone juga dilengkapi tempat pemijak kaki aluminium bercirikan sporty, sistem ekzos dengan rekaan sporty, emblem Drone jenis 3D yang tampil dengan rekaan unik dan plat 3D yang memaparkan logo berjabat tangan di antara GPX x SYM. Untuk pilihan warna pula, GPX Drone didatangkan dengan enam skim warna yang elegan.

(Visited 9,269 times, 1 visits today)