Keeway Patagonian Eagle 250 2020 di pasaran Malaysia, harga RM 9,388.00

Salah sebuah model cruiser yang masih ditawarkan di pasaran Malaysia ketika ini ialah Keeway Patagonian Eagle 250 2020. Berdasarkan rujukan di dalam laman jual beli Mudah.my, model tersebut kini boleh dimiliki pada harga serendah RM 9,388 sahaja, setelah ditolak rebat tunai sebanyak RM 500.00 daripada harga asal RM 9,888.00.

Keeway Patagonian Eagle 250 dilancarkan di pasaran Malaysia pada bulan Oktober 2017, dalam dua pilihan warna hitam dan merah. Ianya dikuasakan enjin dalam sesaran 249cc (2-cylinder, 4-stroke, 4-valve) dan dipadankan kotak gear lima kelajuan. Jumlah keluaran kuasanya mencapai 17.67PS @ 8,000rpm dengan tork 16.5Nm @ 6,000rpm.

Enjin tersebut dilengkapi sistem penyejukan jenis cecair dan sistem penghidup jenis elektrik. Tangki bahan apinya pula mempunyai kapasiti maksimum 12 liter. Di bahagian suspensi, ianya terdiri daripada fork depan teleskopik dan penyerap hentak belakang berkembar, manakala sistem brek cakera dipadankan dengan sistem brek jenis dram.

Sport rim sporty yang menghiasi roda Keeway Patagonian Eagle 250 dipasangkan tayar depan dan belakang masing-masing dalam ukuran 90/90-R18 dan 130/90-R15. Selain itu model cruiser tersebut juga hadir dengan speedometer yang bergaya klasik, tempat duduk belakang dengan penyandar dan paip ekzos berkembar yang kelihatan garang.

Berat keringnya pula berada pada paras yang bersesuaian iaitu 148 kg sahaja. Kepada peminat motosikal cruiser tempatan yang tidak mahu berbelanja besar melebihi paras RM 10k, Keeway Patagonian Eagle 250 2020 ini mungkin merupakan salah satu pilihan yang sesuai. Apa pun saksikan gambar-gambar menariknya dalam galeri di bawah.