GPX Legend250 Twin II 2020 dilancarkan di pasaran Thailand

GPX Thailand kelmarin dengan rasminya melancarkan model terbaharu GPX Legend250 Twin II 2020. Model tersebut ditawarkan pada harga THB 81,900, bersamaan RM 10,856.48 mengikut kadar semasa. Pada masa yang sama sempena pelancaran, ianya ditawarkan pada harga THB 79,900, diskaun sebanyak THB 2,000.

GPX Legend250 Twin II turut didatangkan tempoh jaminan selama 3 tahun atau 30,000 km jarak perjalanan. Pilihan warna yang ditawarkan tiga kesemuanya iaitu Gray, Black dan Black Matt. Dari segi penampilan, ianya merupakan sebuah model bergaya klasik yang cukup menawan dan pastinya akan menambat hati ramai peminat di Thailand.

Ciri-ciri menarik yang melengkapi GPX Legend250 Twin II ini antaranya ialah handlebar yang bergaya klasik, panel meter digital LCD sepenuhnya, lampu depan dan lampu DRL (Daytime Running Light) LED, lampu belakang LED, fork depan upside-down dan penyerap hentak belakang dengan tabung gas berjenama YSS yang berkualiti.

Sistem brek depan dilengkapi dua cakera berkembar dengan diameter 276 mm (Twin Disc brake / 4 pot) dan brek belakang tunggal dengan diameter 220 mm (Single Disc brake / 1 pot). Beralih ke bahagian roda, rim aloi aluminium 17 inci dipadankan dengan tayar depan berukuran 100/90 (Tubeless) dan tayar belakang 130/90 (Tubeless).

Sebagai sebuah motosikal yang bergaya klasik, GPX Legend250 Twin II turut dilengkapi tempat duduk dan sistem ekzos dengan rekaan klasik, di samping tangki minyak yang mempunyai pad perlindungan di kedua-dua belah sisinya. Tangki minyak berkenaan hadir dengan kapasiti maksimum 14.5 liter untuk perjalanan yang lebih jauh.

GPX Legend250 Twin II seterusnya menawarkan prestasi berkuasa melalui enjin 234cc (2-cylinder, 4-stroke, 4-valve, SOHC) yang dilengkapi sistem oil-cooled, teknologi suntikan bahan api GPX-Fi (jenama Delphi daripada USA) dan transmisi enam kelajuan. Enjin tersebut menghasilkan tork maksimum sehingga 15Nm @ 6,500rpm.

Dari segi dimensi, ukuran lebar x panjang x tinggi GPX Legend250 Twin II 2020 ini ialah 785 x 2,040 x 1,120 mm, dengan jarak roda berukuran 1,340 mm.  Ketinggian tempat duduknya pula berada pada paras 790 mm, manakala jarak kelegaan bumi ialah 180 mm. Berat keseluruhan motosikal berada pada angka hanya 156 kg (net weight).

Untuk pasaran Malaysia, GPX Malaysia baru-baru ini telah memberi bayangan awal bahawa model terbaharu GPX Legend250 Twin II 2020 ini akan turut dilancarkan tidak lama lagi, dengan sasaran pelancaran pada hujung tahun ini. Melihat kepada pakej keseluruhan yang ditawarkan, ianya pasti akan mendapat sambutan hangat.

(Visited 6,907 times, 5 visits today)