GPX Legend 150Fi 2021 dilancarkan di pasaran Thailand, harga bersamaan RM 7.7k

GPX Thailand pada 30hb. November 2020 baru-baru ini dengan rasminya melancarkan model terbaharu GPX Legend 150Fi 2021. Boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu Silver Space, Black Phoenix dan Matt Black Phoenix, model tersebut ditawarkan pada harga hanya 57,500 THB, bersamaan RM 7,725.02 mengikut kadar semasa.

GPX Legend 150Fi dikuasakan enjin empat lejang satu silinder bersesaran 149cc dengan sistem penyejukan udara, serta turut dilengkapi teknologi suntikan bahan api elektronik GPX-Fi berjenama Delphi dari USA. Lebih menarik lagi ialah enjin tersebut dipadankan kotak gear enam kelajuan untuk tunggangan yang lebih menyeronokkan.

Ciri-ciri seterusnya yang melengkapi GPX Legend 150Fi antaranya termasuklah lampu depan dan lampu belakang LED yang bergaya klasik, panel meter digital sepenuhnya, penyerap hentak belakang DTG Plus berkualiti tinggi daripada YSS, handlebar dengan kemasan premium dan tempat duduk bergaya klasik yang selesa dengan logo Legend.

Selain itu GPX Legend 150Fi juga dilengkapi fork depan jenis upside-down untuk tunggangan yang lebih selesa, sistem brek cakera di bahagian roda depan berukuran 276 mm, handlebar yang dipasangkan pemegang berkonsepkan retro dan selesa ketika berada di dalam genggaman, dan juga terdapat logo emblem 3D baharu yang elegan.

GPX Legend 150Fi 2021 mempunyai ketinggian tempat duduk 780 mm, tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 12 liter, rim berjejari dengan ukuran tayar depan 110/90-R17 dan belakang 120/90-R17, dan beratnya ialah 143 kg (net weight). Tempoh jaminan yang diberikan adalah selama 3 tahun atau jarak perjalanan 30,000 km.

Artikel menarik minggu ini :