Model skuter terbaharu Yamaha Aerox 155 Connected 2021 dilancarkan secara rasmi di pasaran Indonesia pada tarikh 02hb. November 2020 yang lalu. Hadir dalam dua varian iaitu Standard dan ABS, perbezaannya ialah varian ABS dilengkapi dengan sistem brek ABS, Stop and Start System (SSS) dan Sub-Tank Suspension.
Pilihan warna yang ditawarkan ialah Dark Grey Yellow, Red, Matte Black Cyan dan Black untuk varian Standard, sementara untuk varian ABS ianya didatangkan dalam dua pilihan warna istimewa iaitu Prestige Silver dan Maxi Signature Black. Kini pada tarikh 15hb. Disember 2020, pilihan warna baharu dalam versi MotoGP diperkenalkan.
Yamaha Aerox 155 Connected dalam versi livery istimewa ‘Monster Energy Yamaha MotoGP (MEYM) Team’ hanya didatangkan dalam varian ABS sahaja. Harga yang ditawarkan untuk versi MotoGP Edition tersebut adalah sebanyak Rp 29.500.000 OTR Jakarta, bersamaan RM 8,468.24 mengikut nilai kadar tukaran mata wang semasa.
Di pasaran Vietnam, Yamaha NVX 155 VVA 2021 turut dilancarkan pada tarikh 02hb. November 2020, dan hanya tersedia dalam varian ABS sahaja. Pilihan warna yang ditawarkan juga termasuk dengan versi livery MotoGP Edition. Untuk pasaran Malaysia, Yamaha NVX 2021 dijangka akan dilancarkan oleh HLYM pada tahun depan.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada Yamaha NVX 2021 untuk pasaran tempatan itu akan dilengkapi dengan spesifikasi serba lengkap, sama seperti varian ABS yang ditawarkan di pasaran Indonesia dan Vietnam. Jika varian Standard sahaja yang dilancarkan, harga yang akan ditetapkan oleh HLYM adalah lebih kompetetif.