Yamaha YZF-R3 2020 dilancarkan di pasaran Thailand, kini dengan tiga pilihan warna terbaharu

Pasaran Thailand pada beberapa hari yang lepas secara rasminya menerima kehadiran model terbaharu Yamaha YZF-R3 2020. Model tersebut kini boleh didapati dalam tiga pilihan warna terbaharu yang lebih menarik, namun sayangnya warna paling terkini iaitu Electric Teal yang diperkenalkan di pasaran USA sebelum ini tidak tersenarai.

Dari segi spesifikasi, Yamaha YZF-R3 2020 untuk pasaran Thailand ini masih kekal dengan spesifikasi terdahulu, sama seperti model tahun 2019 yang berada di pasaran sebelum ini. Enjinnya bersesaran 321cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC inline twin- cylinder, 8-valve) yang digandingkan dengan transmisi enam kelajuan, menghasilkan kuasa maksimum 42PS @ 10,750rpm dengan tork maksimum 29Nm @ 9,000rpm.

Untuk pasaran Thailand, Yamaha YZF-R3 2020 untuk ketiga-tiga pilihan warna yang ditawarkan itu dilengkapi dengan fork depan upside-down berwarna emas, menjadikan penampilan untuk kesemua pilihan warna itu lebih sporty dan menyerlah. Sistem brek ABS pula merupakan ciri standard yang dibekalkan untuk ciri keselamatan terbaik.

Berbanding model Yamaha YZF-R25 2020 di pasaran Malaysia, sudah tentu Yamaha YZF-R3 2020 di pasaran Thailand ini mempunyai kelebihan dari aspek kuasa dan tork yang lebih tinggi, termasuk kelebihan dari segi sistem brek ABS. Bagaimanapun atas pertimbangan tertentu, Yamaha YZF-R3 tidak pernah ditawarkan di pasaran Malaysia.

Ketika ini Yamaha Thailand sedang mempamerkan model Yamaha YZF-R3 2020 di acara permotoran Thailand International Motor Expo 2020 (2 – 13 Disember 2020), bersama-sama model-model keluaran Yamaha yang lain termasuklah model Yamaha MT-03 2020 yang turut dilancarkan untuk pasaran negara tersebut baru-baru ini.

Untuk pasaran Thailand, harga yang ditawarkan untuk Yamaha YZF-R3 2020 ini adalah sebanyak 196,000 THB, bersamaan RM 26,332.23 mengikut kadar semasa.