Pada pertengahan bulan November 2020 yang lepas, Ducati memperkenalkan barisan model Scrambler terbaharunya untuk musim 2021. Seperti mana model-model lain keluarannya, setiap model Scrambler 2021 juga telah mematuhi piawaian emisi Euro 5.
Salah sebuah model Scrambler yang diperkenalkan itu ialah Ducati Scrambler Desert Sled 2021, kini tampil dengan skim warna baharu “Sparking Blue” dengan perincian warna merah dan putih pada tangki bahan api, disertai rim berjejari berwarna emas.
Tempat duduk dengan ciri anti-gelungsor (anti-slip seat) juga merupakan kelengkapan baharu untuk model berkenaan, menjadikan posisi tunggangan kini lebih selesa pada ketinggian 860 mm (versi 20 mm lebih rendah turut tersedia sebagai pilihan).
Ciri-ciri utama yang melengkapi Ducati Scrambler Desert Sled 2021 antaranya seperti kerangka off-road yang diperkuatkan, lengan ayun aluminium khas, fork depan Kayaba upside-down boleh laras dengan travel 200 mm, penyerap kejutan belakang boleh laras dengan katrij gas berasingan dan pelindung lampu depan yang telah diluluskan.
Selain itu model tersebut juga hadir dengan mudguard depan yang tinggi, tayar depan 120/70 R19 M/C 60V M+S T, tayar belakang 170/60 R17 M/C 72V M+S TL, paparan meter digital dan tersedia untuk DMS (Ducati Multimedia System), sistem lampu LED, Cornering ABS, Riding Mode Off Road dan ekzos berkembar yang diwarnakan hitam.
Dikuasakan enjin bersesaran 803cc (L-Twin, Desmodromic distribution, 2 valves per cylinder, air cooled), ianya menghamburkan kuasa maksimum 73hp @ 8,250rpm dengan tork puncak 66.2Nm @ 5,750rpm, dan bersedia untuk aktiviti lasak off-road.