Yamaha YZF-R3 model tahun 2021 baru saja diperkenalkan untuk pasaran USA, dan agak mengejutkan apabila ianya diperkenalkan dengan salah satu pilihan warna yang cukup unik dan menarik, dikenali dengan nama Electric Teal. Tidak pasti pula sama ada pilihan warna tersebut akan turut ditawarkan di pasaran lain selepas ini.
Selain daripada warna Electric Teal, dua lagi pilihan warna yang ditawarkan ialah Team Yamaha Blue dan Matte Stealth Black. Harga jualan asas Yamaha YZF-R3 2021 di pasaran USA ditetapkan sebanyak $5,299 MSRP, bersamaan RM 21,988.20 mengikut kadar tukaran semasa. Harga tersebut boleh dikatakan tidaklah terlalu mahal.
Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada laman sesawang Yamaha Motor USA, tiada perubahan dari segi teknikal untuk model musim 2021 ini, bermakna ianya masih sama seperti model tahun 2020. Enjinnya bersesaran 321cc (liquid-cooled, 4-stroke, DOHC inline twin-cylinder; 4-valves percylinder) dengan transmisi enam kelajuan.
Jumlah pengeluaran kuasa dan tork tidak pula dipaparkan, namun untuk pasaran Eropah, Yamaha YZF-R3 menawarkan kuasa maksimum 42PS @ 10,750rpm dengan tork puncak 28.8Nm @ 9,000rpm. Sistem suspensi depannya merupakan fork jenis upside-down, dengan gandingan suspensi belakang monoshock (adjustable preload).
Sebagai sebuah model sport bike berprestasi, Yamaha YZF-R3 2021 ini seterusnya dilengkapi sistem brek cakera depan tunggal (298mm hydraulic disc) dengan ABS, dan brek cakera belakang tunggal (220mm hydraulic disc) juga dengan ABS, untuk pemberhentian yang lebih cekap dan selamat. Untuk cengkaman terbaik, tayar depan dan belakang ialah Dunlop® Sportmax GPR-300®, dalam siri 110/70-17 dan 140/70-17.
Selain itu, ianya turut hadir dengan paparan instrumen digital moden yang memberikan pelbagai maklumat penting, lampu depan dan belakang LED, ciri tunggangan yang ergonomik dan tahap aerodinamik yang dipertingkatkan. Untuk pasaran Malaysia, YZF-R3 tidak dibawa masuk, sebaliknya pilihan yang ada ialah Yamaha YZF-R25.